ALLAHYARHAM Ismail Hashim, 59, antara pelapor yang pernah memberikan khidmatnya kepada Harakah, di era 90-an.
Walaupun, perkhidmatan diakhbar milik PAS itu tidak lama, namun sedikit sebanyak, beliau telah berperanan menyampaikan risalah Islam kepada masyarakat.
Pemergiannya pada Khamis, 16 Januari lalu, secara tidak langsung menamatkan sakit yang dideritanya sejak sekian lama.
Allahyarham Ismail atau nama penanya Ilhami Hisham atau IBH, dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, kira-kira seminggu akibat strok, sebelum menghembuskan nafas terakhir di kediamannya, Padang Temesu, Derang, pada Khamis itu.
Beliau yang menghidapi penyakit tiga serangkai sejak sekian lama, pernah dimasukkan ke hospital dua kali sebelum ini akibat strok.
Ketika hayatnya, Allahyarham pernah memikul amanah sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Pokok Sena selama dua penggal, bermula dari tahun 2001 hingga 2005.
Sementara beliau juga antara individu yang bertungkus-lumus menyiapkan arkib PAS Kedah di awal 2020 lalu.
Sebaik sahaja berhenti daripada berkhidmat bersama Harakah, Allahyarham menumpukan masanya menulis buku dan mengadakan kelas penulisan serta pernah berkhidmat di Perkampungan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Derang, Bukit Pinang,
Walaupun Allahyarham tidak menempa nama sebagai pemimpin terulung atau terkenal di Kedah, namun jasanya pada bidang penulisan serta khidmat baktinya kepada Harakah tidak boleh dinafikan.
Jenazahnya disemadikan di Tanah Perkuburan Masjid Derang.
Antara pemimpin yang hadir bersama-sama memberi penghormatan terakhir termasuklah, Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya dan Yang Dipertua PAS Kawasan Pokok Sena, Dato’ Wan Romani Wan Salim serta lain-lain pemimpin PAS Kedah dan Pokok Sena.
Justeru tidak terlewat untuk Harakah bersama seluruh kakitangannya, mengucapkan takziah atas pemergian itu, khusus kepada ahli keluarga Allahyarham.
Semoga Allah mengurniakan kebaikan dan keampunan ke atas rohnya dan dihimpunkan Allah bersama orang-orang yang soleh.
Sesungguhnya, dari Allah kita datang, kepada Allah jua kita kembali. Al-Fatihah. – HARAKAHDAILY 21/1/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!