PEMIMPIN DAP, Nga Kor Ming telah beberapa kali mencetuskan kontroversi dan kemarahan dalam kalangan umat Islam di Malaysia. Ia gara-gara kebiadabannya yang semberono mencampuri hal ehwal Islam. Termasuk keceluparannya yang mengejek, memperoleh, memperlekeh, bahkan menghina Islam.
Berikut adalah beberapa insiden melibatkan Kor Ming yang kini merupakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dalam Kerajaan Madani pimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
1. Tuduh PAS sesat dan diminta bertaubat (2024): Kor Ming menuduh PAS sebagai ajaran sesat dan menggesa parti itu untuk bertaubat. Kenyataan ini mencetuskan kemarahan dalam kalangan umat Islam dan dianggap sebagai campur tangan dalam urusan agama Islam.
2. Petik hadis Nabi secara tidak tepat (2024): Kor Ming dikritik hebat kerana memetik hadis Nabi Muhammad SAW secara tidak tepat dan dianggap menghina Islam. Beliau melalui media sosial rasmi miliknya berkata Rumahku Syurgaku adalah merupakan hadis Nabi SAW.
3. Ucapan Pongal menggunakan istilah ‘Ilahi’ (2024): Kor Ming memuat naik ucapan Selamat Hari Pongal di media sosialnya yang menggunakan istilah ‘Ilahi’, yang juga bermaksud ‘Allah’. Ucapan tersebut mendapat kritikan hebat daripada netizen dan akhirnya dipadam oleh Nga.
4. Mengaitkan HAMAS dengan pengganas (2023): Kor Ming cuba mengaitkan HAMAS dengan pengganas, yang mencetuskan kemarahan dalam kalangan umat Islam. Kenyataan ini dianggap sebagai penghinaan terhadap perjuangan rakyat Palestin dan Islam.
5. Kenyataan biadab terhadap PAS (2022): Kor Ming mendakwa negara Malaysia akan menjadi seperti negara Taliban di Afghanistan sekiranya PN membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
6. Pengasingan jantina di pawagam (2020): Kor Ming menggesa Putrajaya campur tangan dalam urusan Kerajaan Negeri Terengganu supaya membatalkan arahan berkenaan pengasingan jantina di pawagam.
7. PAS-Umno Taliban (2019): Nga pernah menuduh bahawa kerjasama Umno dan PAS akan menjadikan Malaysia seperti Afghanistan yang diperintah Taliban sekiranya kedua-dua parti berkenaan berjaya membentuk kerajaan. Beliau menyatakan bahawa gabungan ini akan mengharapkan isu-isu kaum dan agama untuk mendapatkan sokongan, dan apabila berkuasa, akan melaksanakan dasar-dasar ekstrem yang memangsakan bukan-Melayu dan Melayu sederhana.
8. Pakaian Pramugari (2016): Kor Ming pernah menyindir pakaian purdah sambil menyifatkan Datuk Ahmad Darus yang mencadangkan dalam Perhimpunan Agung Umno supaya pramugari MAS memakai pakaian menutup aurat sebagai ‘Pemimpin Melayu otak cacat’.
9. Ucapan Hari Raya (2016): Kor Ming pernah menaikkan ucapan Hari Raya Aidil Fitri yang disertakan gambar kartun yang memberi makna bahawa pemberian duit raya ketika menyambut Hari Raya Adil Fitri oleh orang Islam kepada kanak-kanak sebagai ‘derma’ dan ‘dedak’.
10. Ucapan Hari Raya (2016): Kor Ming pernah menaikkan ucapan Hari Raya Aidil Fitri yang menyertakan gambar rumah api yang berlatarbelakangkan bendera Amerika Syarikat dan yang diselitkan dengan perkataan ‘In God We Trust’ serta ‘Lord, Guide Our Nation Back To You’.
Nga Kor Ming telah beberapa kali diberi amaran oleh pemimpin-pemimpin Islam supaya tidak mencampuri urusan agama Islam dan menghormati sensitiviti umat Islam di Malaysia.
Tindakan beliau yang berulang kali menyentuh isu-isu sensitif itu kini telah mencetuskan ketegangan dan mengundang kritikan hebat daripada pelbagai pihak. – HARAKAHDAILY 2/1/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!