Tanggapi isu mimpi temu Rasulullah secara berprinsip

Bukan untuk bertelingkah atau dipolitikkan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Isu mimpi bertemu Rasulullah SAW perlu ditanggapi dengan adil, insaf dan berlandaskan prinsip, bukan sebaliknya dijadikan bahan pertelingkahan atau dipolitikkan.

Bekas Menteri Agama, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, setiap isu yang timbul seharusnya dimanfaatkan oleh umat Islam sebagai peluang untuk menambah ilmu.

“Saya terkilan apabila melihat satu persatu isu dijadikan modal pertelingkahan dan perlecehan sesama Muslim. Terbaharu, isu mimpi Rasulullah SAW,” ujar beliau dalam media sosial miliknya hari ini.

Dr Zulkifli berkata, bertitik tolak daripada video Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang tular baru-baru ini, beliau telah mengambil masa untuk menilainya dengan neraca ilmu.

Bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu telah mengumpulkan banyak dapatan dalam tempoh yang ada dan menyatakan rasa syukur kerana berjaya membukukan perbincangan topik tersebut.

Menurutnya, dua buku bertajuk ‘Melihat Rasulullah SAW di Alam Mimpi’ dan ‘Mengungkap Rahsia Mimpi’ itu kini boleh didapati secara percuma atau melalui pembelian menerusi muat turun atas talian.

Beliau memberitahu, mereka yang berminat, bahan bacaan percuma mengenai mimpi Rasulullah SAW telah disediakan di Maktabah Al-Bakri, dan sumbangan juga dialu-alukan bagi menyokong operasi pusat tersebut.

Buku ‘Melihat Rasulullah SAW di Alam Mimpi’ itu secara ringkasnya membahaskan fenomena mimpi melihat Baginda, termasuk panduan memahami jenis-jenis mimpi dan keabsahan dari perspektif Islam.

Buku itu juga menceritakan bahawa mimpi bertemu Rasulullah dianggap sebagai anugerah rohani, namun ia tidak boleh dijadikan dasar hukum atau hujah syarak, melainkan jika ia selari dengan prinsip agama.

Penulisan buku itu juga mengingatkan umat Islam agar berhati-hati dalam menafsir dan menghebahkan mimpi untuk mengelakkan kekeliruan dalam akidah dan amalan. – HARAKAHDAILY 9/11/2024

- Advertisement -