KUALA LUMPUR: Monsun Timur Laut (MTL) atau musim tengkujuh di Malaysia dijangka bermula pada 5 November ini dan berterusan sehingga Mac 2025.
Ketua Pengarah, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip, berkata lima hingga tujuh episod hujan lebat dijangka berlaku dalam tempoh itu.
“Semasa fasa awal MTL episod hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah dari November hingga Disember 2024, manakala Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah pada Januari hingga Februari 2025 pula.
“Namun, sekiranya luruan monsun yang berlaku adalah kuat dan pada masa yang sama wujud sistem cuaca tekanan rendah dan hujan lebat berterusan boleh berlaku di negeri-negeri lain di Malaysia,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.
Mohd Hisham berkata, hujan lebat berterusan untuk tempoh beberapa hari boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan berkedudukan rendah dan berhampiran sungai.
“Sekiranya hujan lebat berterusan berlaku serentak dengan kejadian air pasang besar dan luruan ribut, risiko kejadian banjir boleh menjadi lebih ekstrem.
“Selain itu, tiupan angin timur laut secara berterusan dan kencang boleh menyebabkan laut bergelora, risiko kenaikan paras laut dan ombak besar di perairan Laut China Selatan,” katanya.
Beliau berkata, kawasan utara Semenanjung dijangka mengalami kurang hujan menjelang pada fasa akhir MTL iaitu Januari hingga Mac 2025 dan akan menyebabkan cuaca panas dan kering serta berpotensi berlakunya gelombang haba.
“Namun begitu, keadaan diramalkan tidak seteruk seperti pada 2024 disebabkan fenomena La Nina dijangka bermula hujung tahun ini hingga pertengahan tahun hadapan.
“Orang ramai dinasihatkan agar bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh serta sentiasa peka dengan maklumat, nasihat, ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh MET Malaysia melalui medium sebaran rasmi iaitu laman sesawang www.met.gov.my.
“Selain itu, orang ramai juga boleh muat turun aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi MET Malaysia, serta talian hotline MET Malaysia 1-300-22-1638 boleh dihubungi bagi sebarang pertanyaan lanjut,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/11/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!