Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 104)
Diceritakan bahawa seorang pemimpin tentera meminta bantuan dari seorang menteri untuk mencadangkan kepada kadi menerima kesaksiannya terhadap beberapa kes orang ramai.
Menteri itu membalas dengan katanya- sebagai menghormati pandangan dan autoriti kadi: “Ini bukanlah urusanmu. Tugas yang berkaitan denganmu ialah berusaha menambahkan pemimpin tentera, memindahkan tentera dan yang berkaitan dengannya. Kesaksian di mahkamah dan penerimaannya, maka itulah yang diserahkan kepada kadi. Saya dan kamu tidak berhak bercakap mengenainya”. (Tarikh Khulafa, Imam Suyuti ms 267-268)
Dari kisah di atas, kita dapat mengambil beberapa pelajaran:
1. Sifat ingin meminta tolong dari orang lain adalah sifat semula jadi manusia. Cuma bentuk minta tolong itu mestilah menuruti syarak. Paling kurang ia bersifat harus, tidak makruh, tidak haram.
2. Kesaksian adalah perkara besar dalam agama Islam. Justeru, ciri-ciri saksi mesti diberi perhatian supaya kes yang dibicarakan yang melibatkan saksi tersebut adil.
3. Dalam sebuah institusi, organisasi hinggalah kepada negeri dan negara, setiap pihak ada autoriti, bidang kuasa masing-masing. Bidang kuasa ini tidak boleh dicerobohi atau masuk campur oleh pihak lain. Ia akan membawa kucar-kacir jika bidangkuasa itu diceroboh atau masuk campur mengenainya. Oleh itu, jawapan menteri di atas yang berbentuk nasihat kepada pegawai tentera itu amat wajar agar tidak masuk campur dalam bidangkuasa orang lain.
4. Hari ini, kita lihat masuk campur dalam bidangkuasa pihak lain ini berlaku. Mungkin dalam bidang politik, pengurusan, pentadbiran dan lain-lain. Perkara ini menyebabkan kegawatan dalam sesebuah negeri dan negara itu. Masuk campur ini pula kadang-kadang dengan menyalah-gunakan kuasa untuk kepentingan diri sendiri atau tujuan tertentu yang salah.
Lalu ia menjadi tiga perkara, masuk campur, salah guna kuasa, keputusan yang salah atau menzalimi orang lain.
5. Autoriti orang lain mesti dihormati. Bidang kuasa orang lain jangan diganggu. Masing-masing menjaga ‘rakyatnya’ masing-masing.
Nabi SAW bersabda:
كلُّكم راعٍ وكلُّكم مسؤولٌ عن رعيتِهِ فالأميرُ الذي على الناسِ راعٍ عليهم وهو مسؤولٌ عنهم والرجلُ راعٍ على أهلِ بيتِهِ وهو مسؤولٌ عنهم والمرأةُ راعيةٌ على بيتِ بعلها وولدِهِ وهي مسؤولةٌ عنهم وعبدُ الرجلِ راعٍ على بيتِ سيدِهِ وهو مسؤولٌ عنهُ ألا فكلُّكم راعٍ وكلُّكم مسؤولٌ عن رعيتِهِ
Maksudnya: Setiap dari kamu adalah pengawal. Setiap dari kamu bertanggungjawab mengenai rakyat/jagaannya. Ketua yang menjaga orang ramai adalah penjaga yang bertanggungjawab ke atas mereka. Suami itu penjaga ahli keluarganya. Beliau bertanggungjawab mengenai mereka. Isteri penjaga rumah suami dan anaknya. Beliau bertanggungjawab mengenai mereka. Hamba seseorang adalah penjaga rumah tuannya. Beliau bertanggungjawab mengenainya. Ketahuilah! Setiap kamu adalah penjaga, dan setiap kamu bertanggungjawab terhadap orang di bawah jagaannya. – HARAKAHDAILY 23/10/2024
Penulis ialah Pegawai Khas Hal Ehwal Agama Pejabat Menteri Besar Terengganu.