Perlis-DPPPM WC buka peluang pelaburan di CVIA

- Advertisement -

KANGAR: Kerajaan Negeri Perlis mengalu-alukan kerjasama strategik dengan Dewan Perniagaan, Perindustrian, dan Pelaburan Malaysia-Wuxi, China (DPPPM-WC) bagi mempercepatkan pembangunan di Kawasan Industri Lembah Chuping (CVIA).

- Advertisement -

Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, kerjasama itu sempena Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Negeri Perlis dan DPPPM-WC di Dewan Serbaguna, Kompleks Dewan Undangan Negeri, di sini semalam.

MoU tersebut bertujuan untuk mempromosikan Perlis sebagai destinasi pelaburan utama, dengan fokus kepada empat kluster utama iaitu pembuatan hijau, hab pensijilan dan pembuatan halal, kenderaan jimat tenaga, serta tenaga boleh diperbaharui.

“Kerjasama ini dilihat sebagai langkah strategik dalam menggalakkan pelaburan asing dan mengukuhkan hubungan perdagangan antara Malaysia dan China, khususnya Perlis dan Wuxi,” katanya.

Mohd Shukri berharap DPPPM-WC akan membawa sekurang-kurangnya satu atau dua pelabur pada suku pertama tahun 2025, bertepatan dengan sambutan Jubli Perak Pemerintahan Raja Perlis.

Menurutnya, lokasi CVIA yang strategik, serta projek Perlis Inland Port (PIP), dijangka menjadi faktor penarik utama kepada pelabur.

“Kerjasama ini bukan sahaja menawarkan peluang pelaburan yang cerah tetapi juga komitmen kepada pembangunan yang mampan dan inovatif,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 11/10/2024

- Advertisement -