Soalan:
Apakah hukumnya ketika berlaku kematian disapu minyak pada sendi-sendi mayat sebelum dimandikan?
Jawapan:
Sunat melembutkan sendi-sendi mayat selepas daripada matinya supaya senang digerakkan ketika memandikannya kerana terkadang jadi keras sendinya ketika datang tukang mandi maka jadi sukar memandikannya.
Berkata Imam Abu Al-Husain Al-‘Imrani As-Syafie:
الثالث: أن يلين مفاصله، فيرد ذراعيه إلى عضديه، ثم يمدهما، ويرد أصابع يديه إلى كفيه، ثم يمدها، ويرد فخذيه إلى بطنه، وساقيه إلى فخذيه ثم يمدهما؛ ليكون أسهل على غاسله
Ertinya: “Dan sunat yang ketiga ialah bahawa melembutkan segala sendinya maka dilipat kedua lengannya kepada kedua bahunya kemudian diluruskan keduanya kemudian dilipat segala jari dua tangannya kepada dua tapak tangannya kemudian dibuka keduanya. Dan melipatkan kedua pahanya kepada perutnya dan kemudian kedua betisnya kepada kedua pahanya kemudian diluruskan keduanya semula supaya mudah atas tukang mandinya.” (Kitab Al-Bayan Fi Mazhab Al-Imam As-Syafie)
Dan berkata Syeikh Khatib As-Syarbini:
(وَلُيِّنَتْ مَفَاصِلُهُ) بِأَنْ يَرُدَّ سَاعِدَهُ إلَى عَضُدِهِ ثُمَّ يَمُدَّهُ وَيَرُدَّ سَاقَهُ إلَى فَخِذَيْهِ، وَفَخِذَيْهِ إلَى بَطْنِهِ وَيَرُدَّهُمَا وَيُلَيِّنَ أَصَابِعَهُ، وَذَلِكَ لِيَسْهُلَ غُسْلُهُ فَإِنَّ فِي الْبَدَنِ بَعْدَ مُفَارَقَةِ الرُّوحِ بَقِيَّةَ حَرَارَةٍ فَإِذَا لُيِّنَتْ الْمَفَاصِلُ حِينَئِذٍ لَانَتْ، وَإِلَّا فَلَا يُمْكِنُ تَلْيِينُهَا بَعْدَ ذَلِكَ
Ertinya: “Dan dilembutkan segala sendinya dengan bahawa dilipat akan lengannya ke bahunya kemudian diluruskannya dan dilipat akan betisnya kepada dua pahanya dan akan dua pahanya kepada perutnya dan kemudian meluruskan keduanya semula dan melembutkan segala jari-jarinya. Dan bermula yang demikian itu tujuannya ialah memudahkan mandinya maka dari kerana sungguhnya pada badan itu selepas bercerai roh ada tinggal kepanasannya. Maka apabila dilembutkan segala sendinya pada waktu itu nescaya jadi lembut ia. Maka jika tidak dilembutkan pada masa itu nescaya tidak mungkin lembut ia kemudian daripada itu.” (Kitab Mughni Al-Muhtaj)
Dan tidak mengapa jika tidak dilembutkan terlebih dahulu jika hendak memandikannya dengan segera selepas keluar rohnya kerana jika dimandikan segera sebaik sahaja mati kebiasaannya sendi-sendinya belum mengeras maka tiada hajat kepada dilembutkan terlebih dahulu.
Hendaklah diketahui bahawa menyapu minyak ke atas sendi-sendi mayat ketika melembutkannya itu bukanlah suatu yang dimestikan.
Ramai orang salah faham berkenaan perkara ini iaitu apabila mati oleh seseorang lalu disapunya atau disuruhnya seorang yang lain menyapu minyak pada segala sendi mayat.
Menggunakan minyak itu ialah apabila memerlukan kepada disapu minyak dengan sebab keras sendinya ketika hendak melipatnya bukannya terus disapu minyak tanpa keperluan.
Maka jika mudah melipat sendi-sendinya ketika itu nescaya tidaklah perlu kepada menyapu minyak.
Berkata Syeikh Ramli:
وَلَوْ احْتَاجَ فِي تَلْيِينِ ذَلِكَ إلَى شَيْءٍ مِنْ الدُّهْنِ فَلَا بَأْسَ، حَكَاهُ الْمُصَنِّفُ عَنْ الشَّيْخِ أَبِي حَامِدٍ وَالْمَحَامِلِيِّ وَغَيْرِهِمَا
Ertinya: “Dan jikalau memerlukan ketika melembutkan yang demikian itu kepada suatu seperti minyak maka tidak mengapa. Telah menghikayatnya dari Syeikh Abu Hamid dan Al-Mahamili dan lain dari keduanya.” (Kitab An-Nihayah Al-Muhtaj)
Kesimpulannya jika selepas berlaku kematian terus dimandikan maka tidak sunat dilembutkan dahulu segala sendinya dan tetapi jika belum mahu dimandikan sebaik sahaja selepas matinya maka sunat dilembutkan segala sendinya supaya mudah atas tukang mandinya nanti memandikannya dan jika ketika melembutkannya itu memerlukan minyak maka harus disapu akan minyak pada segala sendi-sendinya. Wallahua’lam. – HARAKAHDAILY 14/8/2024
Tulisan ini diambil daripada Facebook Ustaz Azhar Idrus.
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!