Dasar Keluarga Mawaddah perkasa institusi keluarga

Rohani Ibrahim
- Advertisement -

KOTA BHARU: Pelbagai inisiatif dilaksanakan kerajaan Kelantan bagi memastikan Dasar Keluarga Mawaddah Kelantan (DKMK) difahami, dihayati dan dilaksanakan setiap anggota masyarakat.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Rohani Ibrahim berkata, DKMK digubal kerajaan negeri pada tahun 2008 bertujuan memperkasakan institusi keluarga secara bersepadu.

Katanya beberapa inisiatif dilaksana bagi memperkasa DKMK antaranya menerbitkan buku Panduan Keluarga Mawaddah, mengadakan lebih 15 program advokasi pembangunan keluarga.

Selain itu dianjurkan seminar, bengkel, keraian dan pelbagai lagi.

“Tahun ini kita akan adakan Hari Keluarga Mawaddah dengan memberi anugerah kepada Keluarga Mawaddah terpilih,” ujarnya ketika menjawab soalan Ku Mohd Zaki Ku Hussin (PAS-Dabong) pada sidang Dewan Undangan Negeri, hari ini.

Menurutnya, kempen Keluarga Mawaddah dibuat melalui pelbagai medium dan platform selain mewujudkan Pusat Sehenti Keluarga (Mawaddah Centre) yang beroperasi pada tahun 2021 di Kota Bharu.

Kata beliau program berkenaan mendapat kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JAHEAIK) dan sukarelawan sosial.

“Mawaddah Centre berfungsi memberi khidmat nasihat, rundingan cara dan motivasi dan ia akan diperluaskan ke beberapa tempat lain. Fasa 1 di Kota Bharu, Fasa 2 di Kuala Krai dan Fasa 3 di Pasir Puteh,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/6/2024

- Advertisement -