Strategi Amerika mempengaruhi masjid

- Advertisement -

SEJAK memegang tampuk kuasa besar dunia selepas Perang Dunia Kedua, Amerika sangat berwaspada dengan sebarang agenda yang menggoyahkah takhta mereka. Antaranya mereka menghadapi Soviet dalam Perang Dingin dengan begitu khuatir sekali, kerana kuasa besar itu bukanlah kecil-kecil anak. 

- Advertisement -

Namun, hasil propaganda yang Amerika lakukan, berjaya mengheret Soviet untuk menyerang negara Islam, iaitu Afghanistan pada 1989. Kesannya, Soviet bungkus. Selepas perang tersebut, pada 1992 robohlah musuh kuat Amerika itu.

Mimpi ngeri mereka dalam Perang Dingin dengan Soviet itu membuatkan Amerika sentiasa berjaga-jaga dengan mana-mana kebangkitan. Termasuklah kebangkitan Islam pada awal 90an. Era ini menyaksikan kemenangan parti-parti Islam dengan jalan demokrasi, yang tidak pernah dijangkakan oleh Amerika.

▪️ Kebimbangan terhadap Islam

Kebangkitan Islam awal 90an telah menyebabkan Amerika mula mengalih perhatian mereka kepada Islam. Antaranya Samuel Huntington yang merupakan pemikir Amerika, menerbitkan kajiannya yang bertajuk Clash of Civilazation. Buku ini secara rasminya mempersembahkan kepada dunia bahawa Islam adalah musuh baru Amerika.

Untuk meraih pengaruh masyarakat dunia, Amerika menggiatkan kempen bagi menggambarkan diri mereka sebagai agen keamanan. Justeru, untuk menghadapi kebangkitan Islam, mereka telah menyenaraikan sebanyak 5 negara Islam sebagai paksi keganasan. 

Ini bermakna, negara-negara itu akan dikacau dengan berlapikkan alasan bodoh mereka untuk menjaga keamanan. Pelbagai dialog dan wacana tertumpu kepada keganasan yang dipalitkan atas nama Islam. Apatah lagi dengan kemunculan Osama bin Laden, yang dikaitkan dengan segala macam penyembelihan dan pengemboman.

Kemuncaknya pada 2001 pelanggaran WTC dan Pentagon, yang turut dikaitkan dengan Osama bin Laden sebagai modal mereka untuk gambarkan keganasan Islam. Bermula saat itu, Amerika mula berkempen kononnya untuk memerangi keganasan, sedangkan yang mereka sasarkan ialah Islam.

Di sinilah timbulnya kumpulan-kumpulan yang tidak diketahui asal usul mereka, bercakap tentang Islam sambil diselit dengan aktiviti mengacau ketenteraman awam. Termasuk juga memplotkan ‘perang saudara’. Seolah-olah cuba menggambarkan imej buruk terhadap Islam dan umatnya.

▪️ Kelahiran orang Islam berfahaman Barat 

Antara label atau istilah yang biasa mereka palitkan ke atas Islam sejak 2001 ialah ganas, radikal, konservtif, jumud dan sebagainya. Label ini akhirnya melahirkan rasa fobia masyarakat dunia terhadap Islam. 

Termasuk juga fobia di kalangan orang Islam terhadap gambaran kejumudan dan keganasan yang dilukis oleh Amerika itu. Akhirnya, ada di kalangan orang Islam yang cuba memakai wajah pop, toleransi, progresif dan liberal, supaya tidak dilihat jumud atau ganas

Wajah-wajah ini dipakai sebagai tindakbalas terhadap kempen Amerika tersebut. Mereka ini dengan gigihnya ingin dilihat tidak jumud, sederhana lagi toleransi, menonjol dan sebagainya. Kesan secara ‘culture’ ini mengheret kepada perubahan cara fikir umat Islam, lantas merebak kepada perselisihan.

Ada yang ingin kekalkan keaslian Islamnya, ada yang ingin berubah kerana keaslian itu dilihat sudah ketinggalan zaman atau dibayangi gambaran ekstrim lagi radikal. Di sini, lahirlah orang-orang Islam moderate lagi liberal (tidak radikal) kononnya, dan gerakan-gerakan Islam yang berwajah baru pun muncul.

Contohnya Parti Refah di Turki menang pilihanraya pada 1996. 2 tahun kemudian ia diharamkan kerana pendekatan parti itu dikatakan bercanggah dengan sekular di Turki. Selepas itu, untuk menyambung legasi Parti Refah, tertubuhnya Parti Saadat pada 2001. 

Namun, Erdogan yang juga berasal daripada Parti Refah bertindak menubuhkan Parti AK dengan pendekatan yang moderate, pop, toleransi dan sealiran dengannya. Manakala di Tunisia pula, Parti Nahdhoh telah ‘bersalin kulit’ apabila kepimpinan baru yang naik, muncul dengan watak moderate sama seperti Parti AK.

▪️ Percaturan mereka 

Dalam situasi ini, kita perlu meneliti kajian Cheryl Bernard yang merupakan salah seorang panel RAND Corporation yang bertajuk Civil Democratic Islam pada 2003 [1]

Beliau mentakrifkan orang Islam moderate tadi, sebagai kelompok modernis. Beliau menyatakan;

“Modernis mahu dunia Islam menjadi sebahagian daripada kemodenan global. Mereka mahu memodenkan dan memperbaharui Islam agar sesuai dengan zaman.”

Sudah pasti, perselisihan ini dianggap sebagai peluang oleh Amerika untuk dimanfaatkan. Beliau membeza-bezakan kelompok Islam menjadi 4, iaitu Modernis, Sekularis, Tradisionalis dan Fundamentalis. 

Beliau beranggapan bahawa bukan semua orang Islam itu ‘bermasalah’ bagi Amerika. Akan tetapi yang bermasalah hanyalah kelompok ‘Fundamentalis’. Kelompok ini dianggap sebagai mereka yang mempunyai pemikiran untuk menegakkan pemerintahan Islam. 

Justeru, untuk mengekang kelompok ini, beliau mengemukakan idea supaya Amerika memberi sokongan padu kepada kelompok Modernis atau Moderate, dan seterusnya memberi sokongan kepada Tradisionalis bagi menentang Fundamentalis (gerakan Islam). 

Antara yang dinyatakan oleh beliau;

Islam tradisionalis mengandungi elemen demokratik yang boleh digunakan untuk menentang Islam fundamentalis yang bersifat represif dan autoritarian, tetapi ia tidak sesuai untuk menjadi saluran utama untuk Islam yang bersifak

▪️ Mencipta kesufian yang berhatikan Barat 

Dalam tulisan Cheryl Bernard sendiri meletakkan bahawa golongan Tradisionalis Islam boleh digunakan untuk melawan gerakan Islam, antaranya dengan cara menggalakkan dan mempromosikan kesufian yang mesra Barat. Beliau menyenaraikan strategi tersebut;

“Encourage the popularity and acceptance of Sufism”

Perlu sedari, kesufian yang dimaksudkan adalah mengikut perspektif Barat, bukan kesufian yang sebenar mengikut Islam. Beliau turut menyatakan bahawa bagaimana untuk mempromosikan nilai-nilai kemodenan demokratik Barat ialah dengan mengukuhkan kesufian tersebut. Beliau berkata;

“Galakkan negara yang mempunyai tradisi sufi yang kuat untuk memberi tumpuan kepada bahagian sejarah mereka dan memasukkannya ke dalam kurikulum sekolah mereka. Beri perhatian lebih kepada Islam sufi”

Beliau turut menyatakan;

“Sufi tidak sesuai dengan mana-mana kategori yang sedia ada, tetapi kami akan memasukkan mereka di dalam kategori modernisme. Tasawuf mewakili satu interpretasi terbuka dan intelektual terhadap Islam. Pengaruh Tasawuf ke atas kurikulum sekolah, norma, dan kehidupan budaya seharusnya dikuatkan di negara-negara yang memiliki tradisi Tasawuf, seperti Afghanistan atau Iraq. Melalui puisinya, muzik, dan falsafah, Tasawuf memainkan peranan penting sebagai jambatan di luar afiliasi keagamaan.”

▪️ Potensi dua jalur sufi terhadap Dasar Luar Amerika 

Secara berstrategi, Amerika cuba mengaburi umat Islam dengan menggiatkan kempen ke arah kesufian. Ini kerana, mereka mendakwa kempen ini untuk mengekang golongan Islam yang mereka label sebagai radikal.

Justeru, dalam Persidangan di Nixon Center pada 2004, Amerika telah mengadakan persidangan bersama tokoh sufi dalam Islam. Dalam pertemuan tersebut mendapati di sana terdapat aliran sufi yang boleh ‘digunakan’ untuk memasarkan dasar luar Amerika. 

Bernard Lewis, yang merupakan pemikir Amerika berucap dalam persidangan tersebut;

“Di sana terdapat syair-syair karangan Rumi dan Ibn Arabi dalam bahasa Parsi dan Turki yang menandakan bahawa semua agama adalah sama: Semua agama mempunyai tujuan yang sama, mesej yang sama, komunikasi yang sama, dan juga mereka menyembah Tuhan yang sama” [1]

Bernard Lewis melihat bahawa kesufian melalui dua aliran ini berpontensi untuk mempromosikan Pluralisme, seterusnya mengukuhkan Liberalisme yang menjadi dasar luar Amerika. Justeru, Amerika melihat dua jalur ini boleh digunakan sebagai kempen melawan gerakan Islam yang mereka label sebagai radikal itu.

▪️ Memangsakan Gerakan Islam

Amerika cuba mengekang kebangkitan Islam, kerana bimbangkan tampuk kuasa mereka. Kebangkitan Islam banyak dipelopori oleh gerakan-gerakan Islam yang terlibat dengan politik. Namun, melalui kempen melawan keganasan, Amerika cuba memplotkan gerakan gerakan Islam yang terlibat dengan politik sebagai pengganas.

Cheryl Bernard dalam dokumen Civil Democratic Islam mentakrifkan kelompok ini sebagai Fundamentalis Islam. Imej keganasan itu diadaptasi oleh beliau daripada kesungguhan kelompok ini untuk menegakkan negara Islam. Beliau berkata;

“Fundamentalis ialah mereka yang menolak nilai demokrasi dan budaya Barat kontemporari. Mereka mahukan negara autoritarian yang terlalu konservatif, yang akan melaksanakan pandangan ekstrem mereka terhadap undang-undang dan akhlak Islam. Mereka sanggup menggunakan inovasi dan teknologi moden untuk mencapai matlamat tersebut”.

Beliau menyatakan lagi;

“Fundamentalis Islam memusuhi Barat dan Amerika Syarikat khususnya, dan berniat untuk untuk merosakkan dan memusnahkan pemodenan demokrasi secara bertahap. Menyokong kumpulan ini bukanlah pilihan, melainkan hanya sekadar pertimbangan sementara dengan berstrategi”

Sebab itulah apa yang saya nyatakan tadi, Cheryl Bernard mencadangkan supaya Amerika perlu memberi sokongan kepada kelompok Modernisme (termasuk sufi) dan mempertembungkan golongan Tradisional Islam dengan gerakan Islam yang mereka sebut sebagai kelompok Fundamentalis.

▪️ Kajian RAND terhadap peranan masjid

Dalam dokumen RAND Corporation yang bertajuk Building Moderate Muslim Networks, meletakkan perhatian yang agak tinggi terhadap fungsi masjid. Mereka menganggap masjid menjadi lubuk bagi melahirkan kader-kader gerakan Islam yang terlibat dengan politik.

Dokumen ini menyatakan;

“Fahaman radikal dan dogmatik terhadap Islam telah mendapat pengaruh dalam beberapa tahun terakhir dalam kebanyakan masyarakat Islam. Terdapat banyak faktor, dan banyak kajian telah di buat bagi memahami pergerakan mereka. Boleh dikatakan, faktor struktur politik memainkan peranan besar. Kepentingan struktur politik authoritarian (diktator) dalam masyarakat Islam, terutamanya Arab, dan kemerosotan institusi masyarakat sivil (civil society) di seluruh dunia Islam telah membuatkan masjid sebagai salah satu saluran utama untuk menterjemahkan ketidakpuasan rakyat terhadap keadaan politik, ekonomi, dan sosial yang sedia ada. Dalam kes beberapa negara autoritarian (diktator), Islam radikal menonjolkan diri sebagai alternatif bagi melawan kerajaan. Mereka memperjuangkan Islam radikal mereka dalam media massa dan arena politik negara masing-masing samada secara terbuka atau senyap, bergantung kepada tahap penindasan politik”

Dokumen ini menyatakan lagi;

“Salah satu sebab kejayaan golongan radikal dalam menyebarkan idea mereka adalah mereka menggunakan masjid sebagai medium untuk berdakwah dan merekrut ahli. Di sisi lain, ahli akademik liberal pula tidak mampu untuk berinteraksi dengan hadirin di masjid. Mereka mendapati sukar untuk menterjemahkan bahasa akademik yang biasa mereka gunakan kepada bahasa orang awam. Oleh itu, gerakan Islam liberal atau Gerakan moderate Muslim yang mempunyai sokongan yang meluas di kalangan masyarakat Muslim perlu bergantung kepada penglibatan aktif para ulama moderat (liberal), terutamanya para ulama muda, yang akan menjadi kepimpinan agama pada masa depan”

▪️ Gerakan Liberal/Moderate menguasai masjid

Berdasarkan kajian RAND yang dikemukakan tadi, dapat kita fahami bahawa Amerika memandang serius terhadap peranan Masjid. Ia dianggap sebagai lubuk gerakan Islam politik yang dilabel oleh Amerika sebagai radikal. 

Antara contoh yang mereka kemukakan ialah Perancis. RAND mengatakan bahawa golongan Islam yang dituduh radikal telah menguasai sebuah organisasi tajaan kerajaan baru selepas pilihanraya April 2003, iaitu French Council for the Muslim Religion. Pertubuhan ini berperanan mengawal masjid-masjid.

Justeru, dalam kajian tersebut, mengemukakan beberapa cadangan mengatasi masalah mereka ini ialah dengan menggerakkan gerakan Liberal atau ulama’ moderate atau kelompok modernis untuk menguasai masjid.

Antara yang disebutkan ialah Al-Hadi al-Sabah merupakan imam Masjid Passau di Jerman, dan Soheib Bencheikh, Mufti Besar Marseille yang dilahirkan di Arab Saudi dan berpendidikan di al-Azhar. Kedua-dua figura ini banyak bersuara yang lebih menguntungkan Amerika.

Di Bandar Davao City, Zamboanga, dan Marawi di Mindanau, wujudnya The Center for Moderate Muslims yang dipimpin oleh Prof Taha Basman mempunyai projek membangunkan direktori masjid dan madrasah di seluruh negara

Manakala persatuan-persatuan pula antaranya Progressive British Muslims dan British Muslim Forum yang menaungi 250 buah masjid. 

Individu atau persatuan ini banyak menggerakkan idea-idea Liberal yang dilapik atas nama Islam. Secara tidak langsung, gerakan-gerakn seperti ini dapat mengekang Gerakan Islam daripada menggerakkan kesedaran Islam melalui masjid.

▪️ Usaha mengekang Gerakan Islam daripada masjid

Antara yang dinyatakan dalam kajian Building Moderate Muslim Networks;

“In the absence of liberal movements or civil society, Islamists and mosques are the only channel for political dissent”

Dengan ketiadaan gerakan Liberal atau Masyarakat Sivil, kelompok Islamis dan Masjid adalah satu-satunya saluran untuk menyuarakan bangkangan terhadap politik.

Di sini kita dapat lihat, bagaimana Amerika cuba mengekang Gerakan Islam daripada menggerakkan kesedaran Islam melalui masjid. Usaha gerakan Islam ini dijenamakan oleh Amerika sebagai doktrin radikal dan proses merekrut orang-orang Islam untuk melakukan keganasan.

Kempen Amerika mengaitkan gerakan Islam dengan keganasan akhirnya menyebabkan kesan yang meluas di kalangan umat Islam. Masing-masing ada yang merasa fobia dengan para ulama’ yang terlibat dengan gerakan Islam atau politik

Mereka yang terpengaruh dengan kempen ini juga lebih cenderung kepada para ulama yang tidak terlibat dengan politik, kerana bimbangkan cetusan radikal. Mereka merasakan ulama’ yang moderate atau liberal itu lebih sederhana.

Lebih-lebih lagi para ulama’ yang sufi mengikut neraca Barat, yang turut dikategorikan oleh Cheryl Bernard sebagai kelompok Modernis. Mereka ini cuba dipublisitikan bagi mengekang ulama’ gerakan Islam yang bergerak melalui masjid-masjid.

Kajian RAND yang dinyatakan tadi menyebut;

“Therefore, a liberal or moderate Muslim movement with a mass base will depend on enlisting the active participation of moderate clerics, particularly of young clerics, who will become the religious leadership of the future”

Oleh itu, gerakan Islam liberal atau Gerakan moderate Muslim yang mempunyai sokongan yang meluas di kalangan masyarakat Muslim perlu bergantung kepada penglibatan aktif para ulama moderat (liberal), terutamanya para ulama muda, yang akan menjadi kepimpinan agama pada masa depan

▪️ Kesimpulan

Secara umumnya, kita perlu sedar persaingan ini melibatkan ideologi Barat. Barat cuba memenangi cara fikir umat Islam. Amerika cuba berkempen agar seramai mungkin orang Islam menjauhi politik, atau menjauhi gerakan Islam yang terlibat dengan politik.

Justeru, apabila umat Islam semakin ramai menjauhi segmen tersebut, ia menjadikan Amerika semakin kukuh dan ‘tidak diganggu’ dengan rasa kebimbangan terhadap kebangkitan Islam yang bertarung dalam segmen politik. 

Tak kira apa jua cara sekalipun. Samada umat Islam itu cenderung menjadi liberal, atau cenderung menjadi sufi, atau cenderung kepada penyelewengan sekalipun, itu tiada masalah bagi Amerika. Asalkan umat Islam itu meninggalkan segmen politik, dan gerakan-gerakannya. Samada disebabkan rasa benci terhadapnya, atau rasa takut.

MUHAMMAD MUJAHID IR MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 7/5/2024

Pautan;

[1] https://www.rand.org/content/dam/rand/pubs/monograph_reports/2005/MR1716.pdf 

[2] https://www.islamawareness.net/Sufism/sufism_us_policy.pdf 

PENAFIAN:

HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -