Israel adalah segala-galanya buat Amerika Syarikat

Sistem anti peluru berpandu `Iron Dome' di Israel turut mendapat bantuan Amerika Syarikat.
- Advertisement -

WASHINGTON: Bencana kemanusiaan di Gaza mendorong Amerika Syarikat (AS) meletakkan syarat terhadap pembiayaan ketenteraan dan bantuan lain bernilai berbilion dolar yang diberikan kepada Israel, negara yang menerima bantuan asing terbesar AS sejak Perang Dunia Kedua.

Berikut adalah butiran bantuan AS terhadap Israel ketika melakukan serangan di Gaza.

- Advertisement -

Apa bantuan yang dibenarkan oleh undang-undang?

Pada 2016, kerajaan AS dan Israel menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) 10 tahun ketiga, meliputi tempoh mulai 1 Oktober 2018 hingga 30 September 2028. MOU itu menyediakan sejumlah AS$38 bilion bantuan ketenteraan sepanjang 10 tahun, geran AS$33 bilion untuk membeli peralatan ketenteraan dan AS$5 bilion untuk sistem pertahanan peluru berpandu.

Apa sistem senjata canggih yang Israel dapat?

Israel ialah negara pertama mengendalikan F-35 yang dianggap sebagai jet pejuang paling maju dari segi teknologi pernah dibuat. Israel kini dalam proses membeli 75 pesawat F-35 dan setakat tahun lalu, menerima penghantaran 36 pesawat dengan bayaran dibuat melalui bantuan AS.

AS juga membantu Israel membangunkan dan mempersenjatai sistem pertahanan roket jarak dekat `Iron Dome’ yang dibangunkan selepas perang antara Israel dan Hizbullah yang berpangkalan di Lubnan pada 2006. AS berulang kali menghantar Israel ratusan juta dolar untuk membantu menambah peluru berpandu pemintas.

Washington juga membantu membiayai pembangunan sistem “David’s Sling” Israel, yang direka untuk menjatuhkan roket yang ditembak dari jarak sejauh antara 100 hingga 200 kilometer.

Adakah Israel mendapat lebih banyak bantuan menghadapi Hamas?

Tahun lalu, Presiden Joe Biden meminta Kongres meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbelanjaan Tambahan AS$95 bilion, termasuk AS$14 bilion untuk Israel, selain AS$60 bilion untuk Ukraine, sokongan untuk Taiwan dan berbilion-bilion dalam bantuan kemanusiaan.

Pakej itu yang diluluskan oleh Senat dengan sokongan 70 peratus pada Februari lalu, tetapi disekat di Dewan Perwakilan Kongres yang sebahagian besar kerana bantahan pemimpin Republikan terhadap lanjutan pembiayaan untuk kempen di Ukraine.

Segelintir pemimpin Demokrat berhaluan kiri turut membantah pakej itu yang menyalurkan lebih banyak wang kepada Israel ketika meneruskan kempen ketenteraan yang membunuh lebih 30,000 penduduk Palestin di Gaza.

Joe Biden dan Benjamin Netanyahu meneruskan hubungan erat Amerika Syarikat dan Israel.

Apa cara lain AS menyokong Israel?

AS telah lama menggunakan kuasa veto terhadap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menyekat usul yang dilihat mengkritik Israel. Dalam konflik di Gaza yang kini memasuki bulan ketujuh, AS menggunakan kuasa veto terhadap usul seperti gesaan gencatan senjata dengan segera.

Untuk lulus dalam Majlis Keselamatan, usul memerlukan sekurang-kurang sembilan undi menyokong dan tiada kuasa veto oleh lima kuasa besar dunia – AS, Perancis, Britain, Rusia atau China.

Namun bulan lalu, Washington menggugurkan perlindungan tradisional terhadap Israel dengan mengelak daripada mengundi atau berkecuali terhadap usul menuntut gencatan senjata.

Washington juga memihak kepada Israel dalam pelbagai cara. Bekas Presiden AS dari Republikan, Donald Trump menarik keluar AS dari badan hak asasi manusia paling penting di dunia, Majlis Hak Asasi Manusia PBB, sebagai protes terhadap kritikan badan itu berhubung layanan Israel terhadap rakyat Palestin.

Trump juga mengheret AS meninggalkan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan PBB yang disifatkan berat sebelah terhadap Israel.

AS di bawah pentadbiran Trump juga mengubah dasar negara itu pada 2017 dengan mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel. – REUTERS

- Advertisement -