Bantuan Purnama eratkan hubungan penerima, penyumbang

- Advertisement -

KOTA BHARU: Seramai 675 penerima dari 45 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh Kelantan menerima sumbangan sempena program Semarak Ramadan 2024.

- Advertisement -

Program anjuran Pertubuhan Amal dan Kebajikan Isteri-Isteri Wakil Rakyat dan Pegawai Kanan Kerajaan Kelantan (Purnama) itu dijalankan serentak di 14 Parlimen melalui empat zon, semalam.

Bagi peringkat Parlimen Kota Bharu, majlis berkenaan dirasmikan Penasihat Purnama, Puan Sri Tuan Sabariah Tuan Ishak yang diadakan di JKR 10.

Ketika berucap pada majlis itu, Sabariah berkata, program tersebut diadakan bertujuan untuk meringankan beban masyarakat khususnya golongan asnaf.

Menurutnya, sumbangan Purnama yang diadakan setiap tahun itu diharap dapat menceriakan suasana sambutan Ramadan.

Beliau berkata, Purnama sentiasa aktif dalam pelbagai program sama ada kebajikan, pendidikan dan pengisian ilmu kepada ahli-ahli atau anggota masyarakat.

“Untuk makluman, Purnama sentiasa menjalankan program seperti tadarus al-Quran, usrah, ziarah dan tarbiah di kalangan anggota Purnama.

“Aktiviti ziarah dan penyampaian sumbngan pada tahun 2023 hingga sekarang telah melibatkan 500 orang penerima,” katanya.

Selain itu katanya, pertubuhan itu juga menyalurkan sumbangan melalui Derma Siswa Purnama pada pelajar yang layak.

Tambahnya, pada tahun lepas, Purnama telah menyampaikan sumbangan kepada 180 orang pelajar penerima terpilih dari 14 Parlimen.

Sabariah yang juga isteri kepada almarhum Tuan Guru Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat memberitahu, Purnama juga telah menyampaikan sumbangan Back to School yang melibatkan 540 pelajar terpilih dari 45 DUN tahun lepas.

“Purnama juga sangat prihatin terhadap mangsa-mangsa banjir malah menjadi keutamaan  Purnama untuk membantu mangsa banjir pada tahun ini, seramai 1,025 penerima yang  membabitkan Rantau Panjang dan Tumpat,” katanya.

Beliau seterusnya berkata, bagi menghargai peranan pasukan unit beruniform, Purnama juga telah mengadakan pembungkusan kuih-muih Aidilfitri untuk pasukan keselamatan di negeri Kelantan setiap tahun.

Beliau berharap usaha murni itu dapat diteruskan dari semasa ke semasa bagi meringankan beban mereka yang dibantu serta dapat mengeratkan rasa kasih antara penerima dan penyumbang. – HARAKAHDAILY 17/3/2024

- Advertisement -