Kadar bayaran zakat fitrah di Kelantan RM7

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kadar bayaran zakat fitrah di Kelantan bagi tahun 1445/2024 ditetapkan pada kadar RM7.

- Advertisement -

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) yang juga Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, walau bagaimanapun mana-mana individu yang ingin membuat bayaran RM14 atau RM21 berdasarkan keselesaan menurut harga beras yang dimakan adalah digalakkan.

“Kadar nisab zakat harta bagi negeri tahun ini ialah sebanyak RM23,831 untuk haul antara Ramadan tahun 1445H hingga Ramadan 1446H.

“Ketetapan harga zakat fitrah dan kadar nisab zakat harta negeri bagi tahun ini mendapat perkenan daripada Sultan Kelantan Sultan Muhammad V sebagaimana peruntukan Perkara 6 (1) Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan.

“Pembayaran zakat boleh dilaksanakan melalui perkhidmatan kaunter baitulmal di masjid bandar dan jajahan atau menerusi portal MAIK di zakat.e-maik.my,” katanya menerusi satu kenyataan media di sini hari ini.

Beliau berkata, pihak MAIK amat mengharapkan kerjasama daripada semua pihak untuk mengambil maklum ketetapan ini.

“Bersama-sama kita menghidupkan Ramadan ini dengan amalan soleh dan tanggungjawab berzakat sebagaimana difardukan,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/3/2024

- Advertisement -