Pelancongan: Perlis tubuh JK khas dengan selatan Thailand

- Advertisement -

HATYAI: Perlis akan menubuhkan jawatankuasa khas bersama tiga wilayah selatan Thailand untuk memperkuat sektor pelancongan negeri.

- Advertisement -

Penubuhan jawatankuasa itu akan memudahkan perhubungan antara Perlis dan wilayah Thailand bersempadan iaitu Yala, Songkla dan Satun, khususnya dalam merancakkan penganjuran Tahun Melawat Perlis 2024/2025.

Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, usaha itu akan membuka peluang kerjasama dalam bidang pelancongan, pendidikan, ekonomi dan lain-lain.

“Kita mulakan usaha ini untuk sektor pelancongan terlebih dahulu dan selepas ini mungkin boleh diperluaskan dalam bidang pendidikan, ekonomi dan pelbagai lagi,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Perbincangan Agenda Pelancongan dan Kerjasama Perlis Bersama Selatan Thailand di Hotel Yannaty, di sini, malam tadi.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Wan Badariah Wan Saad dan Pengerusi Jawatankuasa Kerjasama Sempadan, Izizam Ibrahim. Hadir sama dalam mesyuarat itu adalah pemain industri pelancongan dari wilayah selatan Thailand.

Menurutnya, pelbagai isu dibincangkan seperti penjualan diesel kepada pelancong dari Thailand.

“Maklumat mengenai perkara ini baru sahaja saya terima dan kita perlu selesaikan untuk memastikan kehadiran pelancong ke Perlis tidak terjejas.

“Dari segi pembelian petrol, pihak terlibat sememangnya tidak mempunyai masalah namun kekangan yang berlaku adalah membabitkan pembelian diesel bagi van pelancong dan seumpamanya,” katanya. 

Mohd. Shukri juga menekankan pentingnya peniaga di Perlis mencontohi kebersihan dan keunikannya untuk menarik lebih banyak pelancong.

Menurut beliau, Perlis dipuji kerana potensinya dalam sektor pelancongan disebabkan keindahan alam semula jadi, keunikan makanan dan pelbagai lagi tarikan.

“Aktiviti seperti motocross juga dilihat sebagai potensi untuk dikembangkan di Perlis dengan permintaan tinggi dari penggemar sukan lasak terutama dari Thailand,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 7/3/2024

- Advertisement -