Survival anak muda terhimpit, mana solusi kerajaan?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Anak muda belia kini ramai terlibat bekerja sebagai penghantar makanan atau barangan p-hailing dan e-hailing adalah usaha mereka untuk meneruskan kehidupan yang kian menekan pada zaman hari ini. 

- Advertisement -

Ustaz Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden (PN-Alor Setar) berkata, kesungguhan para anak muda tersebut adalah untuk memastikan supaya atas meja di rumah ada makanan untuk anak dan pasangan atau keluarga mereka.

“Di sangka panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Riders kini berdepan kesukaran dalam memperolehi pendapatan yang sewajarnya. Persatuan penghantar ini menggesa kerajaan bertindak tegas. 

“(Ia) membabitkan isu sebuah syarikat e-hailing yang menurunkan kadar caj upah penghantar,” ujarnya berucap pada Perbahasan Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, Parlimen, di sini hari ini.

Beliau mengambil beberapa dapatan mengenai pendapatan diraih pekerja sektor itu di mana sehari memperoleh RM170 bahkan hingga RM200, tetapi hari ini hanya sekitar RM70 ringgit ke RM100 sahaja.

Menurut beliau, kehilangan separuh hingga lebih separuh pendapatan mereka itu, namun masih menanti janji Perdana Menteri bertemu dengan pengendali syarikat e-hailing serta menagih penyelesaian dari pihak kerajaan. 

Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) itu prihatin nasib anak-anak muda yang kian terhimpit itu kerana isu tersebut berkait survival hidup mereka dan keluarga, serta soal moral semakin berkecamuk oleh isu itu.

“Kita sedia maklum anak-anak muda di luar sana terutama yang baru memulakan kehidupan bekerjaya, keluar gelap subuh, balik malam pun gelap. Ini hakikat yang berlaku di luar. 

“Belia kita terutamanya pasangan-pasangan muda yang baru berkahwin, bergelut untuk hidup di luar sana. Mereka sedang bekerja keras demi sesuap nasi dan hidangan makanan di atas meja mereka.

“Persoalannya, bagaimana mereka ini membahagikan masa untuk melihat anak-anaknya membesar. Untuk memberi didikan kepada anak? Anak muda terpaksa menjalani hidup membesarkan keluarganya, menghabiskan masa di atas jalan raya kalau dia rider.

“Dia menghabiskan di luar lebih banyak menghabiskan masa di luar rumah berbanding masa dalam rumah. Bila nak tengok anak? Bila nak didik anak? Sedangkan guru yang pertama kepada anak-anak ialah ibu bapa. 

“Guru di sekolah ni hanya membantu ibu bapa untuk memberi pendidikan. Sedangkan kehidupan hari ni belia kita hakikatnya dia terpaksa bekerja keras. Mereka pun nak didik anak. Dia tahu kasih sayang pada anak. 

“Dia tahu dia kena mendidikkan pada anak. Tapi dia terpaksa bekerja. Kerana kehidupan yang menghimpit, ditekan oleh pelbagai pihak, kos sara hidup, SST pula yang akan naik esok 8 peratus. Semua ini menekan,” tegasnya.

Menurut beliau juga, ibu bapa hari ini ada mengelak menghantar anak ke sekolah kebangsaan, tetapi lebih sanggup membuat pinjaman peribadi untuk memasukkan anak ke sekolah tahfiz atau swasta yang lebih terjamin pendidikan dan akhlaknya.

Afnan turut menyentuh terdapatnya aktiviti-aktiviti yang tidak sihat sedang berlaku kesan media sosial kepada anak-anak terutamanya dinamakan sebagai ‘dark side’ di mana turut menjejak remaja dan anak muda di Universiti.

“Medium yang telah disalahgunakan untuk menyebarkan hal-hal salah laku moral khidmat langganan seks, perkara-perkara yang meruntuhkan akhlak. Satu sudut yang lain di sisi yang cerah mereka ni identitinya baik.

“Satu sudut lain di sisi yang gelap sebenarnya mereka sedang meruntuhkan moral mereka sendiri. Bahkan mereka itu sebagai sumber pendapatan. Jadi kalaulah belia yang ada hari ni begitu keadaannya, kita tidak mula mengawal dengan serius.

“Bagaimana nasib negara kita pada masa akan datang? Kalau kerajaan boleh ada kuasa, menyekat ‘content’ politik yang tidak selari dengan aspirasi kerajaan, kenapa kita tak guna kuasa itu untuk menurunkan ‘content’ yang boleh merosakkan moral dan meruntuhkan akhlak para belia? 

“Sepatutnya perkara itu digunakan seluasnya untuk menjadikan belia dan masa depan negara kita terjamin,” gesanya. – HARAKAHDAILY 29/2/2024

- Advertisement -