Roboh rumah: ‘Saya nak penyelesaian masalah ini sahaja’

Rishi Kumar (kanan) terkilan apabila perjuangannya untuk mempertahankan rumah yang telah didiami sejak 30 tahun lalu, tidak diendahkan kerajaan, tadi.
- Advertisement -

SHAH ALAM: Sebanyak 85 keluarga yang mendiami rumah panjang di Kampung Bunga Raya Subang, di sini, berputih mata apabila satu demi satu rumah mereka dirobohkan atas arahan sebuah syarikat pemaju.

- Advertisement -

Wakil penduduk, K Rishi Kumar, 38, berkata penduduk hanya menginginkan hak iaitu rumah seperti yang dijanjikan pada 1993 lalu.

Jelasnya, beliau masih menyimpan bukti dokumen lama seperti geran, perjanjian perumahan, resit pembayaran dan seumpamanya.

“Saya tidak mempunyai sebarang hutang dan sepatutnya rumah tersebut telah lama wujud, tetapi perkara sebaliknya pula yang terjadi.

“Kami semua tidak jangka mereka datang untuk memusnahkan perkampungan kami, sedangkan rumah kami sendiri pun lama tidak disiapkan,” katanya ketika ditemui Harakahdaily, di sini, hari ini.

Penduduk telah hadir pada perjumpaan bersama Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari, pada 19 Januari lalu.

Mengulas lanjut, Kishi mengharapkan bantuan isu penempatan semula yang membelenggu mereka selama 30 tahun dapat diselesaikan dengan baik.

“Dato’ Seri telah melihat semua kronologi. Beliau mengatakan dia tidak tahu menahu perkara ini, juga tentang beberapa penduduk yang telah mengambil pinjaman (namun tidak dapat rumah) dan telah pun membayar habis pinjaman kepada pihak bank.

“Lalu Dato’ Seri berkata, ‘kamu semua jangan keluar rumah selagi rumah tak diberi ataupun mungkin ada satu perbincangan akan dibawa untuk dapatkan tanah ini apabila rumah tersebut siap’,” katanya.

Justeru, ujarnya penduduk di situ akur dengan nasihat Menteri Besar, namun tidak diendahkan oleh pihak berkuasa yang ada di situ.

Katanya, pihak terbabit menyatakan mereka hanya menjalankan tugas yang diamanahkan oleh pihak mahkamah.

Justeru, Rishi Kumar mengharapkan agar Menteri Besar dan pihak bertanggungjawab dapat memberi jalan penyelesaian kepada penduduk yang terpaksa mengosongkan rumah mereka.

“Tolonglah beri satu penyelesaian, saya tak nak peruntukan apa pun… saya tak nak. Saya nak penyelesaian untuk masalah ini sahaja,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 29/2/2024

- Advertisement -