Bantuan bencana mesti mudah, berkesan dan menyeluruh

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) perlu memudahkan pelarasan agihan bantuan kepada mangsa bencana alam tanpa birokrasi dengan memastikan keberkesanan sumbangan dan operasi pasca bencana.

- Advertisement -

Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) juga berharap kerajaan menimbangkan insentif sebagai inisiatif bantuan kepada para sukarelawan atau petugas Jabatan Kebajikan Masyarakat yang bertugas di Pusat-pusat Penempatan Sementara (PPS).

Beliau mengemukakan perkara tersebut ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Perdana Menteri semasa sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, Parlimen, di sini sebentar tadi.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri yang menjawab soalan tersebut memberitahu bahawa NADMA dan agensi-agensi kerajaan menyediakan peruntukan bantuan untuk meringankan beban mangsa.

Jelasnya, bantuan juga termasuk seperti program baik pulih rumah daif atau bantuan bina rumah baharu, rumah sejahtera, selain melibatkan sukarelawan dan lain-lain lagi.

Terdahulu Siti Zailah dalam soalannya meminta dinyatakan berkaitan dasar bantuan kepada mangsa banjir yang terlibat serta jumlah pampasan termasuk juga bantuan wang ihsan banjir.

Nancy dalam jawapannya menyatakan Kerajaan Persekutuan masih meneruskan dasar bantuan kepada mangsa banjir berdasarkan garis panduan yang telah ditetapkan di bawah arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Arahan MKN tersebut (adalah) kejadian ditafsirkan sebagai suatu yang menyebabkan gangguan kepada aktiviti masyarakat dan urusan negara. Yang melibatkan kehilangan nyawa, kerosakan harta benda, kerugian ekonomi.

“(Juga) kemusnahan alam sekitar yang melangkaui kemampuan masyarakat untuk mengatasinya dan memerlukan tindakan penggemblengan sumber yang ekspensif,” jelas beliau. – HARAKAHDAILY 27/2/2024

- Advertisement -