Campur tangan asing: Apa pendirian kerajaan Anwar?

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim perlu menyatakan pendirian berhubung campur tangan asing terhadap urusan dalam negara ini.

- Advertisement -

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man berkata demikian ekoran Biro Siasatan Persekutuan (FBI) melabelkan tiga pemimpin NGO Islam tempatan sebagai pengganas.

Walaupun Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebelum ini sudah mengesahkan ketiga-tiga individu tersebut tidak pernah terlibat dengan aktiviti keganasan di Asia Barat.

“Kerajaan perlu bertegas agar tidak mengikut telunjuk mana-mana pihak dalam isu yang membabitkan keselamatan dan kedaulatan kita, ia mesti diuruskan kita tanpa campur tangan lain.

“Kita memberikan jaminan sentiasa menyokong usaha-usaha menjaga keselamatan negara daripada sebarang ancaman dan keganasan selari dengan pendekatan ‘muwajah silmiyah’,” katanya.

Ahli Parlimen Kubang Kerian dalam satu kenyataan di laman sosialnya hari ini berkata tindakan tersebut meresahkan rakyat Malaysia seolah-olah negara mudah dibolosi pihak asing.

Kenyataan FBI merupakan usaha berterusan kuasa dunia itu bagi memerangi badan bukan kerajaan yang dilihat membantu perjuangan rakyat Palestin khasnya di Gaza.

Pihaknya yakin bahawa usaha berterusan dengan menyalurkan sumbang dan derma rakyat Malaysia merupakan punca utama NGO terbabit dilabel sebagai pengganas oleh FBI.

Beliau juga secara sinis mempersoalkan tindakan Amerika Syarikat yang membekalkan senjata dan dana kepada Yahudi Zionis untuk membunuh rakyat Palestin yang tidak berdosa.

“Apakah kerana sumbangan kemanusiaan yang mereka berikan kepada mangsa kezaliman dan pembunuhan di Palestin ini dianggap pengganas?

“Bagaimana pula mereka menyalurkan senjata dan ketenteraan kepada Zionis bagi meneruskan pembunuhan kanak-kanak dan wanita tidak dianggap pengganas?

“Dunia harus berlaku adil kepada nasib umat Islam khususnya di Palestin,” katanya.

Sabtu lalu FBI Amerika Syarikat menyenaraikan tiga pemimpin NGO Islam yang berbeza sebagai penganas dalam Pusat Saringan Pengganas (TSC).

Ketiga-tiga NGO tersebut didapati secara aktif memberi bantuan kemanusiaan dari Malaysia kepada rakyat Palestin di Gaza dalam Ops Ihsan. – HARAKAHDAILY 23/2/2024

- Advertisement -