Sungai tercemar najis khinzir: Siapa yang ‘dibela’?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang memandang serius laporan dan kenyataan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Kedah berkenaan pencemaran yang berlaku di hulu Sungai Kulim. 

- Advertisement -

Pengarah JAS Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab dalam kenyataan tersebut menyatakan ia berpunca daripada aktiviti penternakan khinzir di perkampungan Sungai Lembu, Seberang Perai Tengah.

“Hasil siasatan menunjukkan bahawa bacaan parameter amoniakal nitrogen (NH3-N) di dalam sungai tersebut adalah melebihi had yang telah ditetapkan,” ujar Ketua Penerangan Pemuda PAS Pulau Pinang, Mohamad Ikhwan Afiq Mohamad Anwar.

Terdahulu, laporan media tempatan melaporkan terdapat satu aliran air berwarna hitam dari Sungai Air Merah yang terletak di antara Kedah dan Pulau Pinang telah memasuki Sungai Kulim. 

Tambah laporan tersebut, pihak JAS Kedah berkongsi imej-imej menunjukkan beberapa kolam takungan kumbahan ladang babi yang dipercayai dilepaskan oleh penternak ke Sungai Air Merah dan Sungai Kulim.

“Persoalannya, adakah masih ada kandang khinzir haram yang tidak berlesen?” soal Ikhwan Afiq.

Menurut Enakmen Penternakan Babi 2016 yang mula dikuatkuasakan bermula 2021 telah mewajibkan semua penternak dan pemilik kandang khinzir mempunyai lesen dan mengikuti peraturan-peraturan yang berkaitan. 

Pada bahagian 5 enakmen tersebut, di bawah bahagian kesalahan, ada dinyatakan bahawa seseorang pemegang lesen yang gagal untuk mengambil langkah bagi mencegah pembuangan atau pelepasan sisa babi dari ladangnya boleh diambil tindakan serta disabitkan dengan kesalahan.

Selain itu, kesalahan melepaskan atau mengeluarkan bau busuk dan tidak enak daripada ladangnya juga turut sama dapat disabitkan dengan kesalahan maksimum tidak lebih tiga tahun penjara dan denda tidak lebih RM30,000.

Kata Ikhwan Afiq, Sungai Kulim merupakan antara sumber air utama bagi Pulau Pinang di mana membekalkan air mentah yang diteroka untuk mengisi semula Empangan Mengkuang Diperbesarkan (EMD) bagi menghasilkan air terawat untuk disalurkan melalui Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Toh Allang.

“Walaupun kenyataan terbaharu daripada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menyatakan tidak mengesan sebarang perubahan ketara dalam kualiti air terawat seperti yang dilaporkan berlaku di Sungai Kulim. 

“Namun, hasil laporan mendapati bahawa wujud kandang khinzir yang haram dan tidak mempunyai lesen di perkampungan Sungai Lembu, kawasan yang disyaki menjadi dalang utama isu pencemaran ini,” ujar Ikhwan.

Berdasarkan rekod tambahnya, Kerajaan Negeri Pulau Pinang mempunyai rekod yang kurang baik dalam menangani isu pencemaran sungai yang disebabkan oleh kumbahan ladang babi Khinzir. 

Antara kes pencemaran sungai yang masih belum dapat diselesaikan oleh pihak kerajaan negeri sehingga kini menurutnya adalah di Sungai Kereh, Tasik Gelugor dan Sungai Bakap, Nibong Tebal.

“Sehubungan dengan itu, kami mendesak agar Kerajaan Negeri Pulau Pinang bertindak tegas dalam menyelesaikan isu pencemaran ini.

“Tindakan sewajarnya perlu diambil ke atas penternak dan ladang khinzir yang tidak mempunyai lesen serta melanggar peraturan yang telah tertakluk dalam Enakmen Penternakan babi 2016 memandangkan enakmen ini telah lama dikuatkuasakan. 

“Tindakan menutup ladang-ladang khinzir yang berterusan mencemarkan sungai-sungai serta menyebabkan bau busuk di perkampungan terdekat harus diambil dengan segera. 

“Pihak kerajaan negeri perlu memandang serius isu ini kerana kepentingan rakyat dan penduduk adalah lebih utama berbanding penternak-penternak khinzir yang tidak bertanggungjawab ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/2/2024

- Advertisement -