Percepat sidang kaji kompetensi DUN gubal perundangan Islam

Dato' Ahmad Yahaya
- Advertisement -

PUTRAJAYA: Kementerian Hal Ehwal Agama di bawah Jabatan Perdana Menteri digesa supaya mempercepatkan persidangan Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri untuk Menggubal Undang-undang Islam.

- Advertisement -

Ketua Ulamak PAS Pusat, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya menyatakan kekesalan terhadap kes Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid yang menyebabkan Enakmen Jenayah Syariah Kelantan diputuskan batal dan tidak sah di Mahkamah Persekutuan, tadi.

“Perkara ini seharusnya dilaksanakan lebih awal memandangkan semua pihak maklum mengenai implikasi petisyen yang dibawa oleh pempetisyen khususnya terhadap keabsahan undang-undang syariah negeri.

“(Keputusan tersebut) sekali gus meletakkan kedudukan undang-undang syariah negeri bagai tidak ada nilainya dalam sistem perundangan negara,” ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Dalam keadaan sedemikian menurutnya, tidak mustahil pihak yang tidak senang dengan undang-undang syariah akan mengambil langkah lebih drastik untuk mencabar enakmen jenayah syariah di negeri-negeri lain.

Jelas beliau, ia berikutan ikutan (precedent) yang kuat daripada kes Iki Putra dan Nik Elin di mana rakyat dapat menyaksikan cabaran demi cabaran terhadap enakmen jenayah syariah negeri sejak dekad kebelakangan ini.

Sebelum kes Iki Putra, kes transgender Juzaili Khamis yang berpakaian wanita pernah dibangkitkan di Mahkamah Sivil mencabar peruntukan Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan. – HARAKAHDAILY 9/2/2024

- Advertisement -