Mahkamah Syariah: Apakah terus biar kuasanya dijatuhkan?

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Perlembagaan Persekutuan pernah dipinda bagi memberi kuasa dan kedudukan kepada Mahkamah Syariah di mana ia selari dengan tujuan ke arah mendaulatkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan Malaysia.

- Advertisement -

Peguam, Mohd Zubir Embong bagaimanapun berkata, pindaan tersebut seolah-olah tidak memberi makna ekoran dari Enakmen Jenayah Syariah Kelantan diisytiharkan batal dan tidak sah dari keputusan Mahkamah Persekutuan, di sini hari ini.

Menurutnya, umat Islam mesti bangkit dengan mempunyai sikap untuk mendaulatkan Islam sebagai Agama Persekutuan serta berhak menyatakan tidak bersetuju walaupun menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan itu.

“Peruntukan Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan memberikan kuasa kepada Mahkamah Persekutuan untuk menentukan keabasahan, menentukan sah atau batalnya suatu undang-undang.

“Tapi kita berharap pada masa akan datang undang-undang syariah diberikan kedudukan yang sepatutnya dan keputusan yang sebaliknya pula akan dibuat dalam kes-kes yang mungkin akan berlaku ‘revisit’ berkaitan syariah,” ujarnya.

Pengamal undang-undang tersebut juga menyifatkan keputusan tersebut sebagai titik hitam kepada kedudukan Mahkamah Syariah terutamanya negeri Kelantan yang juga bakal juga tersebar ke seluruh negara itu.

Malah, beliau bimbang Mahkamah Syariah akan dimomokkan sebagai mahkamah perkahwinan, perceraian dan tuntutan anak sahaja, sedangkan lain-lain kedudukan undang-undang patut berada di bawahnya sudah jatuh.

“Walaupun dinyatakan isu ini hanya melibatkan bidang kuasa, iaitu negeri tidak mempunyai kuasa untuk membuat enakmen (atau) membuat undang-undang yang kononnya sudah ada di dalam undang-undang Persekutuan.

“Sedangkan pada pandangan kita, bahasa yang ada dalam enakmen tersebut membezakan dengan undang-undang yang ada di peringkat Persekutuan. Malangnya ini tidak dilihat oleh pihak Mahkamah (Persekutuan) sebagai suatu yang mempengaruhi keputusan.

“Dan mereka telah berpendapat bahawa enakmen tersebut benar-benar bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya selepas Himpunan Selamatkan Syariah di hadapan Istana Kehakiman, di sini tengah hari tadi. – HARAKAHDAILY 9/2/2024

- Advertisement -