Bantah konsert yang promosi agenda LGBT, liar dan hedonisme

Tiada halangan konsert yang dianjur ikut garis panduan JAKIM

Tuan Ibrahim Tuan Man
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Konsert hiburan artis yang mempromosi nilai bertentangan dasar negara dan budaya tempatan seperti membawa agenda LGBT, liar dan hedonisme mestilah tidak dibenarkan dan ditentang sama sekali.

- Advertisement -

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan, semua pihak harus jelas hala tuju dan masa depan yang mesti dibina ke atas negara dan rakyat selari dengan dasar kebudayaan nasional sedia ada.

Tegas beliau, hakikatnya Islam tidak menghalang hiburan kerana ia telah wujud dalam masyarakat termasuk kaum Muslimin sejak zaman Rasulullah SAW lagi, oleh itu dasar hiburan negara mestilah ke arah budaya ketimuran berteraskan Islam.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu menjelaskan, garis panduan hiburan yang telah ditetapkan pihak berkuasa mestilah diikuti dalam penganjuran konsert sebagaimana terdapat di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Hiburan tidak dihalang dalam Islam, kita (PAS menerusi pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan) pernah di era Tan Sri Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (almarhum) menganjurkan konsert artis Mawi di Kota Bharu,” imbaunya.

Beliau mengulas bantahan PAS terhadap konsert artis antarabangsa, Ed Sheeren yang bakal diadakan di Kuala Lumpur di mana artis itu diketahui berlatarbelakang dan mempromosikan unsur LGBT dalam persembahannya di seluruh dunia.

Bagaimanapun, bantahan PAS itu dipertikaikan oleh bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang mendakwa Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad ketika sebagai Menteri Agama hanya meminta konsert dikurangkan.

Terdahulu, teguran agar membatalkan konsert itu turut disuarakan Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, namun Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mengumumkan bahawa konsert tersebut akan tetap diteruskan.

Sebelum ini juga penganjuran konsert kumpulan artis antarabangsa pernah ditegur Mufti Wilayah, Prof Datuk Dr Luqman Abdullah, namun Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyatakan itu hanya pendapat bukan fatwa. – HARAKAHDAILY 2/2/2024

- Advertisement -