‘Al-Quds Membebaskan Kita!’ tema Minggu Al-Quds Sedunia

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Sambutan Minggu Al-Quds Sedunia keempat pada tahun ini membawa tema ‘Al-Quds Membebaskan Kita!’.

- Advertisement -

Pengerusi Aid4Palestin, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, tujuan utama minggu Al-Quds diadakan untuk memberikan kesedaran kepada umat Islam dan rakyat Malaysia tentang isu pembebasan Baitul Maqdis.

“Mungkin di sini timbul satu persoalan mengapa tidak namakan minggu Palestin, kenapa namakan minggu Al-Quds kenapa tidak namakan minggu Gaza?

“Ini kerana kita nak highlight kan isu utama kepada isu Palestin termasuk isu Gaza ialah pembebasan Baitul Maqdis, ini yang paling utama dan paling besar yang perlu kita ketengahkan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, untuk penganjuran minggu Al-Quds kali ini akan dihadiri kumpulan ulama daripada dunia Islam, Palestin, Yaman, Algeria dan Mesir.

“Mereka akan menyertai kita untuk menjayakan program ini dan kita telah susun jadual untuk kita turun ke negeri-negeri.

“Untuk kali ini kita telah fokus kepada beberapa negeri iaitu di Selangor, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu dan Melaka.

“Kita harap supaya seluruh umat Islam dan rakyat Malaysia menyambut program ini yang akan kita akan isytiharkan secara meluas apakah program-program di mana, masa dan siapa yang terlibat kita akan sebarkan dalam media selepas daripada ini. Insya-Allah,” katanya.

Menurut beliau yang juga Pengerusi Lajnah Hubungan Antarabangsa PAS Pusat, pelancaran minggu Al-Quds merangkumkan kebanyakan negara umat Islam.

“Sebagaimana saya sebut minggu Al-Quds  ialah minggu Al-Quds sedunia maknanya bukan sahaja kita di Malaysia termasuk di negara-negara lain.

“Jadi saya telah berbincang dengan Dr Abdullah yang terlibat dalam program ini di negara lain jadi beliau bersetuju kita lancarkan di sini di Malaysia,” katanya dalam satu sidang media di Pusat Khidmat Masyarakat Adun Batu Buruk, di sini, hari ini.

Program yang diadakan bermula pada hari ini dan kemuncaknya pada 9 Februari, akan diakhiri di Dewan Tok Guru perkarangan Masjid Rusila.

“Insya-Allah akan turut dihadiri oleh Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan pimpinan yang lain,” ujarnya.

Sementara itu, Penasihat Liga Ulama Palestin, Dr Abdullah Abd Almajeed Alzindani berkata, sambutan minggu Al-Quds Sedunia diadakan untuk memperingatkan balik umat terhadap isu Al-Quds.

“Jadi umat Islam kita pada hari ini telah melalui satu tempoh yang mereka ini jadi semakin jauh daripada mengenali Al-Quds, sekali gus media dan pendidikan sudah kurang pendedahan tentang ibu negara umat Arab dan Islam.

“Jadi bila datang revolusi isu arab spring yang mana isu ini telah menyibukkan umat Islam dengan isu tempatan (setempat) sehingga melupakan isu yang besar bagi umat Islam iaitu isu Palestin.

“Di samping itu juga kita ada masalah yang mana silibus pendidikan kita ini hasil tekanan daripada barat seumpamanya jadi mengubah isu kandungan silibus pengajian yang menyebabkan umat Islam semakin tidak tahu isu yang besar iaitu isu Al-Quds ini.

“Jadi disebabkan silibus ini mendapat tekanan dan diubah akibat tekanan daripada barat ini, generasi yang ada pada hari ini pemuda-pemuda kita tidak tahu apa yang berlaku di Al-Quds apa perancangan musuh terhadap Al-Quds.

“Sekarang ini yahudi Zionis ini mereka telah menceroboh bandar Baitul Maqdis Al-Quds, Masjid Al-Aqsa mereka membuat perayaan mereka di sana dan semua ini mencemar kesucian masjid al-Aqsa ini dan sebab itulah kita buat minggu Al-Quds.

“Oleh kerana itu kita perlu kepada satu program yang memperingatkan balik umat Islam, pemuda, kerajaan, ulama dan seumpamanya tentang isu Al-Quds,” katanya.

Kata beliau, kumpulan Islam daripada pelbagai negara termasuklah minoriti Islam berpakat untuk membuat pertubuhan yang mengambil cakna tentang isu Palestin.

Mereka juga, katanya, membuat pelbagai aktiviti dan juga program sepanjang tahun untuk mengembalikan orang supaya mengingati soal Al-Quds.

“Jadi pada tahun kelima sambutan hari Al-Quds ini, umat kita ini diberkati dengan peristiwa Taufan al-Aqsa, serangan pada 7 Oktober yang mana akibat daripada taufan al-Aqsa ini telah membawa balik tentang isu Palestin dan masjid al-Aqsa ini ke peringkat dunia,” katanya.

Kata beliau, peristiwa Taufan al-Aqsa itu juga telah mendedahkan wajah yang sebenar puak-puak Zionis yang mana bukan sahaja menguasai bandar Baitul Maqdis tapi mereka juga cuba menguasai dan mengatur hala tuju dunia.

“Di samping itu Taufan al-Aqsa ini juga telah mendedahkan atau membongkar kumpulan kita yang munafik yang mana mereka ini berselindung di sebalik nama Masjid al-Aqsa seumpamanya tapi bila datangnya taufan al-Aqsa ini jadi mereka ini terdedah, kalau tiada Taufan al-Aqsa ini kita tidak kenal mereka ini adalah munafik.

“Jadi Taufan al-Aqsa ini juga mengeluarkan semangat untuk bersama dengan perjuangan umat Islam Palestin dan nak membawa umat Islam ini sama-sama menaiki kapal bagi menyelamatkan mereka daripada Taufan al-Aqsa ini iaitu kapal Palestin.

“Jadi bila kita menyambut minggu Al-Quds ini ialah bagaimana kita nak buat program untuk kita memberikan mesej dan memberi kesedaran kepada umat Islam bermula daripada kepimpinan ulamak dan orang lain supaya mereka ada kesedaran tentang isu al-Aqsa ini.

“Bila mereka ada kesedaran mereka akan menyelamatkan mereka daripada tenggelam diserang oleh taufan supaya mereka naik kapal yang akan menyelamatkan mereka.

“Jadi akhirnya kita berdoa kepada Allah SWT supaya memberi taufiq kepada kita supaya dapat melakukan sesuatu perkara untuk kita menolong isu perjuangan al-Aqsa ini supaya kita tidak ditulis di sisi Allah SWT orang yang tidak menyokong bahkan membiarkan isu Al-Quds ini, takut kita ini termasuk dalam orang yang tidak menolong,” katanya.

Pada Minggu Al-Quds pelbagai jenis program diadakan antaranya perarakan, ceramah, kuliah sebelum dan selepas Jumaat, iktikaf dan bermunajat kepada Allah SWT.

Lebih daripada 32 negara dan 160 organisasi yang terlibat dalam Minggu Al-Quds Sedunia. – HARAKAHDAILY 1/2/2024

- Advertisement -