PAS merafak sembah tahniah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS merafak sembah setinggi-tinggi tahniah ke hadapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim atas pelantikan Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke 17 dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah sebagai Raja Permaisuri Agong untuk tempoh lima tahun bermula hari ini, 31 Januari 2024.

- Advertisement -

Ucapan setinggi-tinggi tahniah juga dipersembahkan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbudin Shah Al-Maghfur-Lah yang mengangkat sumpah jawatan sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong pada hari yang sama.

“Sebagai ketua dan timbalan ketua kerajaan serta tonggak pemerintahan Raja Berperlembagaan, PAS yakin kepimpinan bijaksana kedua-dua Baginda akan menambah mutu kehidupan rakyat serta kemajuan negara dan kemakmurannya secara adil dan merata,” ujar Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, PAS percaya, kualiti kepimpinan Baginda berdua bukan sahaja sangat diperlukan pada masa kini kerana pelbagai cabaran yang dihadapi oleh negara, malah akan lebih terserlah berikutan cabaran-cabaran itu.

“PAS mendoakan semoga Duli-Duli Tuanku akan sentiasa dipayungi rahmat serta hidayah Allah SWT dan dianugerahi kesihatan, kesejahteraan dan perlindungan-Nya pada setiap masa dan Ketika,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu. – HARAKAHDAILY 31/1/2024

- Advertisement -