Muslimat perlu menang untuk diposisikan dalam kerajaan

- Advertisement -

JERAI: Dewan Muslimat terbukti telah menyerlah peranan sangat penting dalam menggerakkan agenda perjuangan PAS di persada politik tanah air khususnya menerusi jalur dakwah dan kebajikan.

- Advertisement -

Muslimat juga diberi laluan untuk bertanding dalam pilihan raya, namun sukar mendapat tempat yang mudah menang, sekali gus menyukarkan mereka diposisikan di kerusi pemerintahan.

Topik yang dibentangkan dua penyelidik profesional, Dr Ummu Atiyah Zakuan dan Dr Zaireeni Azmi itu antara paling mendapat perhatian pada Simposium Insan Sejahtera di Jerai Hill Resort, di sini.

Program menghimpunkan 50 pemimpin Muslimat PAS dari seluruh Malaysia yang bermukim selama 3 hari 2 malam ini telah dirasmikan Ahli Jawatankuasa Muslimat PAS Malaysia, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali.

“Sejauh mana peranan wanita dalam gerakan parti politik? Masih ada pandangan bahawa Muslimat sudah cukup selesa bergerak dalam jalur dakwah dan kebajikan tanpa terlibat sepenuhnya dalam pertandingan pilihan raya.

“Tidak dinafikan bahawa PAS telah memberi laluan kepada Muslimat untuk bertanding dalam pilihan raya tetapi persoalannya Muslimat masih sangat sukar untuk mendapat tempat yang mudah untuk menang?” ujar Dr Zaireeni.

Pembentangan tersebut berkongsi hasil kajian yang menunjukkan keupayaan dan pencapaian semasa Muslimat di mana para peserta pula membincangkan usaha bagi memposisikan kepimpinan Muslimat dalam pemerintahan.

Dalam tempoh simposiuj, para peserta juga dibimbing untuk membincangkan perkara-perkara yang perlu dilakukan bagi meneruskan gerak kerja dakwah, siyasah dan tarbiyah dalam masyarakat.

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pernah dalam satu program mengakui masih wujud perdebatan dalam masyarakat berkenaan penglibatan kaum wanita dalam pilihan raya.

“Kita (pemerintahan di Terengganu) buat keputusan tahun 1999 dulu, sekiranya tidak ada kalangan wanita dipilih calon, maka Dewan Negeri boleh melantik wanita menjadi wakil rakyat yang dilantik.

“Ini untuk menonjolkan wanita dalam politik Islam. Kita kena sedar dalam sejarah Islam, bagaimana wanita ini juga terlibat dalam menegur pemimpin, menegur pemerintah,” ujarnya merujuk kisah Khalifah Umar al-Khattab ditegur wanita ketika berkhutbah. – HARAKAHDAILY 28/1/2024

- Advertisement -