Bazar Siti Aisyah turut menawarkan produk menarik

- Advertisement -

KOTA BHARU: Pasar Besar Siti Khadijah merupakan antara destinasi yang sentiasa menjadi tarikan pelancong, khususnya pada hujung minggu, cuti umum dan musim cuti sekolah.

- Advertisement -

Kedudukkannya yang strategik di tengah bandar Kota Bharu, menyebabkan pasar tersebut sering dikunjungi orang ramai termasuk pelancong, tidak hanya ketika Tahun Melawat Kelantan yang dianjurkan kerajaan negeri.

Pasar yang dahulunya dikenali Pasar Pusat Buluh Kubu telah ditukar nama kepada Pasar Siti Khadijah oleh bekas Menteri Besar Kelantan, almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, pada tahun 1997.

Pasar Siti Khadijah mengambil sempena nama isteri baginda Rasulullah SAW, iaitu Siti Khadijah yang juga merupakan seorang usahawan terkenal di zamannya.

Setiausaha Persatuan Pemandu Pelancong Berlesen Negeri Kelantan (3PK), Mohd Norhisham Muhammad Nawi berkata, Pasar Siti Khadijah merupakan destinasi menarik dan wajib dikunjungi pelancong ketika mengunjungi Kelantan.

Menurutnya, keistimewaan pasar tiga tingkat yang mempunyai one stop cantre itu menyebabkan pelancong wajib ke sini untuk membeli-belah.

“Antara pelancong yang paling gemar datang ke sini dari Negeri Sembilan, Selangor, Johor, malah hampir kesemua pelancong yang saya bawa termasuk Lembah Kelang akan singgah di sini,” ujarnya.

Selain Pasar Siti Khadijah beliau turut mempromosikan Bazar Siti Aisyah.

Hisyam yang lebih dikenali The Semutar Guide berkata, sebagai pemandu pelancong, tempat-tempat menarik dan kurang dikenali sewajarnya diperkenalkan kepada pelancong.

“Inilah antara pentingnya kenapa perlu adanya pemandu pelancong, tempat-tempat yang tidak pernah dikunjungi atau tidak diketahui akan dibawa oleh pemandu pelancong.

“Saya juga menyeru kepada pemandu pelancong yang lain supaya membawa pelancong bukan hanya ke tempat-tempat menarik, sebaliknya pusat membeli-belah yang kurang dikunjungi orang ramai, termasuk Bazar Siti Aisyah.

“Sedangkan di sana (Bazar Siti Aisyah) juga turut menawarkan produk yang menarik contohnya kain batik, mungkin pada harga yang lebih rendah berbanding di tempat lain,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 28/1/2024

- Advertisement -