Mantan Pengarang Kanan Harakah selamat dikebumi

- Advertisement -

MELAKA: Mantan Pengarang Kanan Harakah, Allahyarham Roslan Hamid yang meninggal dunia malam tadi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Semabok, di sini, hari ini.

- Advertisement -

Terdahulu jenazah allahyarham telah disolatkan di Masjid Al Abrar, selepas solat Jumaat, tidak jauh dari kediamannya di Kampung Ladang, Semabok.

Menurut anak keempatnya, Luqman Hakim Roslan, 27, ayahnya itu disyaki dijangkiti demam denggi pada Jumaat lepas dan dimasukkan ke wad sehingga Isnin.

“Selepas keluar itu keadaan ayah lemah dan hari berikutnya ayah melakukan ujian darah di klinik kesihatan.

“Hasil ujian mendapati ada jangkitan kuman pada darah dan ayah dimasukkan ke wad pada petang semalam (Khamis),” ujarnya.

Tambah Luqman, doktor memaklumkan untuk menidurkan Allahyarham memandangkan keadaannya kesihatannya yang semakin merosot.

“Kami sempat tengok ayah sebelum ditidurkan. Kemudian doktor memaklumkan yang jantung ayah berhenti berdenyut dan doktor buat CPR dan mulanya doktor dapat kembalikan degupan jantung.

“Selepas itu berlaku lagi dan doktor maklum bahawa kami perlu menerima kemungkinan ayah sukar diselamatkan,” katanya.

Tambahnya pada jam 11.58 malam doktor memaklumkan kepada beliau dan ibunya yang menunggu di hospital bahawa ayahnya sudah meninggal dunia akibat jangkitan pada paru-paru.

Luqman yang bekerja sebagai doktor pergigian yang tinggal bersama dengan Allahyarham itu berkata demikian kepada Harakahdaily usai majlis pengebumian.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan lima orang anak.

Turut menghadiri pengebumian beliau ialah Ahli Parlimen Tangga Batu yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka, Bakri Jamaluddin dan beberapa orang lagi pimpinan PAS negeri.

Allahyarham Roslan yang turut menggunakan nama pena ‘LanH’ di dalam penulisan menyertai Harakah pada tahun 2002 dan bersara pada 2014 dengan jawatan terakhir sebagai Pengarang Kanan. – HARAKAHDAILY 26/1/2024

- Advertisement -