‘Blasphemy’: Mentega Terbang didakwa Kanun Keseksaan

- Advertisement -

MENTEGA Terbang akhirnya menatijahkan pengarah dan penerbit filem berdurasi 104 minit dan disiarkan menerusi platform penstriman itu didakwa mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur, minggu lalu.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mendapati filem mengisahkan ‘konflik keagamaan’ dihadapi seorang remaja beragama Islam itu secara jelas bertentangan dengan akidah dan cara kehidupan umat Islam di Malaysia yang beraliran Mazhab Syafie.

Pengarah, penulis skrip dan penerbit Mentega Terbang cuba menggunakan watak Aisyah yang mempelajari agama lain terutama dalam mencari jawapan kepada persoalan hidup selepas mati sebagai dakyah mereka dalam filem itu.

- Advertisement -

Kementerian Dalam Negeri (KDN) susulan itu mengharamkan filem itu pada 1 September 2023, namun pengarah dan penerbit terbabit mendakwa ia satu tindakan tidak rasional yang melanggar kebebasan bersuara dalam Perlembagaan Persekutuan.

Penulis, Zabidi Mohamad berkata, ini adalah kes pertama dalam sejarah perfileman negara sebuah filem mengangkat tema pemikiran liberal yang menghina Islam didakwa di mahkamah jenayah. 

Beliau yang turut aktif menghasilkan skrip-skrip drama patuh Syariah bagaimanapun berkempen mahu istilah ‘blasphemy’ digunakan bagi perbuatan seumpama itu kerana mempunyai rangkuman maksud lebih luas.

Iaitu rujuknya kepada menghina, memperleceh, merendah-rendah, memperoleh, mengaibkan, mengeji terhadap Allah SWT, Rasulullah SAW, Al-Quran dan As-Sunnah khususnya dan berkaitan Islam umumnya.

Bagi beliau, istilah itu lebih tepat mengikut tafsiran Islam setelah membuat kajian dan dapatan daripada pembacaan berpuluh artikel jurnal dan buku di mana dalam syariat Islam, kesalahan itu amat berat.

‘Blasphemy’ membawa kepada gugurnya iman. Pelakunya perlu bertaubat dan mengucap dua kalimah syahadah semula,” ujarnya yang terkenal dengan buku Arqam: Tersungkur Di Pintu Syurga dan Maunah: Kebenaran Yang Sebenar.

Zabidi menjelaskan, beliau memilih tidak menggunakan istilah ‘menghina agama’ kerana istilah ‘menghina’ itu telah disinonimkan dengan perkataan menghina institusi beraja, mahkamah, Perlembagaan Persekutuan, Jalur Gemilang, adat, bangsa dan lain-lain.

Akibatnya terang beliau, kesalahan ‘menghina agama Islam’ dianggap sama berat atau sama taraf dengan menghina perkara-perkara yang disebutkan itu dan apabila sudah dinormalisasikan, perkataan ‘menghina agama Islam’ itu dianggap bukan isu besar.

Maklumnya, sejak isu Mentega Terbang timbul pada Februari 2023 lagi, apabila ada wartawan mahu temuramah dan mendapatkan pandangannya, beliau meletakkan syarat hanya setuju mereka membantu beliau mempopularkan istilah itu. 

Alhamdulillah semua mereka akur dan turut membantu mempopularkan istilah ‘blasphemy’ ini. Hatta dalam sebuah forum di UKM dan dua sesi podcast yang pernah saya terlibat juga saya turut mempromosi dan mempopularkan istilah ini.

“Ada saya rujuk dengan seorang pensyarah kanan bahasa di Universiti Malaya tentang cadangan saya untuk mengangkat satu kertas kerja ke Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) agar istilah blasphemy ini dapat diterima untuk dijadikan sebagai satu istilah melayu baru dengan ejaan Melayunya ‘Blaspemi’. 

“Pensyarah kanan ini cadangkan kepada saya agar popularkan istilah ini dahulu dalam media dan tulisan. Katanya DBP memang mempunyai satu unit khas yang mengkaji istilah-istilah baru yang muncul di tengah masyarakat untuk dinilai dan dikaji.

“Sama ada boleh diangkat atau diterima pakai sebagai tatabahasa bahasa bahasa Melayu yang baru sesuai dengan perkembangan dan keperluan zaman,” ujarnya mahu pelaku ‘blasphemy’ didakwa atas kesalahan jenayah perbuatan melukakan perasaan agama lain.

IZWAN ABDUL HALIM
[email protected]HARAKAHDAILY 23/1/2024

- Advertisement -