‘Nak naik tarif air tapi perkhidmatan tidak berubah’

Andansura Rabu
- Advertisement -

KUANTAN: “Nak naik tarif air tapi kualiti perkhidmatan tidak berubah maka ini akan memberi kesan besar secara langsung kepada rakyat dan rakyat tidak akan berpuas hati,” kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah, Andansura Rabu.

- Advertisement -

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) dan kerajaan negeri mengemukakan pelan tindakan untuk meningkatkan tahap kualiti dan perkhidmatan bekalan air.

Menurutnya, masalah bekalan air yang tiada jalan penyelesaian menyusahkan kehidupan rakyat bertahun-bertahun lamanya.

“Contohnya di kawasan saya ada rakyat yang tidak dapat menikmati bekalan air secara berterusan kerana tekanan air yang rendah jadi ini mengganggu kualiti kehidupan mereka.

“Mereka terpaksa mengubah rutin harian mereka, terpaksa bangun pukul 3 pagi untuk basuh kain, untuk nak menguruskan keperluan airnya dan bayangkan rakyat terpaksa berdepan dengan isu ini tanpa penyelesaian atau sebarang komunikasi dari pihak PAIP,” katanya ketika dihubungi susulan keputusan kerajaan untuk menaikkan tarif air bermula Februari ini.

Tambahnya, banyak aduan, komen ataupun untuk mendapatkan info mengenai bekalan air terputus tidak mendapat layanan bahkan hotline talian juga tidak diangkat.

“Pengalaman saya sendiri pihak PAIP pernah menolak dan tidak mahu penglibatan pembangkang dalam sebarang isu, apabila saya cuba membantu rakyat membuat cadangan untuk menemukan mereka dengan pengguna ataupun penduduk setempat bagi mencari jalan penyelesaian masalah air,” ujarnya.

Katanya, kualiti perkhidmatan sebegitu sangat tidak memuaskan dan tidak seiring dengan keperluan untuk menaikkan tarif air.

“Saya tiada sebarang isu tentang cadangan ini, cuma saya ingin memberi pandangan bahawa kenaikan tarif air ini perlulah seiring dengan penambahanbaikan dan peningkatan mutu perkhidmatan PAIP itu sendiri,” katanya.

Tambahnya, setiap perkara atau aduan yang dibawa oleh rakyat perlu dilayan, diambil maklum dan dijawab.

“Kita juga berharap pihak pengurusan PAIP secara umumnya perlu bersikap profesional dan berlaku adil kepada semua pihak khasnya parti pembangkang yang cuba berusaha membantu rakyat,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 22/1/2024

- Advertisement -