Operasi Taufan Al-Aqsa dan kebangkitan nilai kemanusiaan

- Advertisement -

Gaza menjadi simbol pertembungan antara kebenaran dan kebatilan

KENYATAAN terkini yang dikeluarkan oleh Persidangan Antarabangsa al-Majma‘ al-‘Alami li al-Taqrib baina al-Mazahib al-Islamiyyah yang bertajuk “Operasi Taufan al-Aqsa dan Kebangkitan Nilai Kemanusiaan”, yang telah diadakan pada pagi Ahad yang lalu di Tehran, menegaskan bahawa isu perjuangan Palestin dan al-Quds merupakan isu yang telah menyatukan dunia Islam. Perjuangan di Gaza pada hari ini telah menjadi simbol pertembungan antara kebenaran dengan kebatilan, dan bumi Gaza bersama seluruh umat Islam menjadi barisan hadapan dalam menghadapi keangkuhan dunia dan Zionis pada peringkat antarabangsa.

Berikut merupakan teks kenyataan yang telah dikeluarkan oleh Persidangan Islam Antarabangsa yang menyatakan sokongan yang teguh terhadap perjuangan rakyat Palestin kini: 

- Advertisement -

﴿وَلَقَدۡ كَتَبۡنَا فِي ٱلزَّبُورِ مِنۢ بَعۡدِ ٱلذِّكۡرِ أَنَّ ٱلۡأَرۡضَ يَرِثُهَا عِبَادِيَ ٱلصَّـٰلِحُونَ ١٠٥﴾

“Dan sesungguhnya telah Kami tulis di kitab-kitab yang Kami turunkan sesudah (kami tulis dalam) al-Zikr (Lawh Mahfuz), bahawasanya bumi ini diwarisi oleh para hamba-Ku yang soleh.” [Surah al-Anbiya’: 105]

Satu persidangan antarabangsa yang bertujuan menyatakan solidariti terhadap Operasi Taufan al-Aqsa dengan tajuk “Taufan al-Aqsa dan Kebangkitan Nilai Kemanusiaan”, telah diadakan atas jemputan dan penganjuran oleh al-Majma‘ al-‘Alami li Taqrib baina al-Mazahib al-Islamiyyah yang berada di bawah naungan Presiden Republik Islam Iran, pada hari Ahad, 14 Januari 2024 Masihi (bersamaan dengan 2 Rajab 1445 Hijrah) di Tehran. Persidangan ini turut disertai oleh tokoh-tokoh ilmuwan, agama dan masyarakat terkemuka dari seluruh pelosok negara-negara Islam dengan tujuan untuk memberi sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin khususnya buat rakyat Gaza yang tertindas.

Para ulama’ yang menyertai persidangan ini telah mengisytiharkan sokongan tidak berbelah-bahagi kepada semua pejuang, terutamanya kepada kumpulan Hamas dan Tanzim Jihad. Sekali gus menyatakan solidariti terhadap rakyat yang tertindas sehingga jenayah ini sepatutnya dihentikan sepenuhnya dan dikembalikan hak-hak penduduk Palestin. Selain itu, para peserta persidangan turut bersimpati dan bersama dengan rakyat Palestin yang mengalami kecederaan dan penderitaan, dan turut memperingati para syuhada’ Gaza.

Setelah dilakukan penelitian yang mendalam terhadap perkembangan semasa di wilayah serantau dan dunia termasuk terhadap jenayah kejam yang dilakukan oleh rejim Zionis dan sekutunya melalui rampasan yang telah membawa kepada pembunuhan puluhan ribu kanak-kanak, wanita dan orang yang tidak bersalah, bahkan turut mencederakan puluhan ribu orang awam, kemusnahan rumah-rumah dan pemindahan ratusan ribu orang, maka persidangan kali ini mengambil beberapa ketetapan seperti berikut:

  1. Pelaksanaan Operasi Taufan al-Aqsa adalah berpandukan firman Allah SWT:

﴿أُذِنَ لِلَّذِينَ يُقَٰتَلُونَ بِأَنَّهُمۡ ظُلِمُواْۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ نَصۡرِهِمۡ لَقَدِيرٌ ٣٩ ٱلَّذِينَ أُخۡرِجُواْ مِن دِيَٰرِهِم بِغَيۡرِ حَقٍّ إِلَّآ أَن يَقُولُواْ رَبُّنَا ٱللَّهُۗ وَلَوۡلَا دَفۡعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعۡضَهُم بِبَعۡضٖ لَّهُدِّمَتۡ صَوَٰمِعُ وَبِيَعٞ وَصَلَوَٰتٞ وَمَسَٰجِدُ يُذۡكَرُ فِيهَا ٱسۡمُ ٱللَّهِ كَثِيرٗاۗ وَلَيَنصُرَنَّ ٱللَّهُ مَن يَنصُرُهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ ٤٠﴾

“Telah diizinkan berperang bagi orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana sesungguhnya mereka telah dizalimi. Dan sesungguhnya Allah benar-benar Maha Berkuasa menolong mereka itu (mencapai kemenangan). (39) Iaitu orang yang telah diusir dari kampung halaman mereka tanpa alasan yang benar, (mereka diusir semata-mata) kerana mereka berkata, ‘Tuhan kami hanya Allah.’ Dan sekiranya Allah tidak mendorong sebahagian manusia menentang keganasan sebahagian yang lain, nescaya runtuhlah kuil-kuil dan gereja-gereja (Nasrani), rumah-rumah ibadat (orang Yahudi) dan masjid-masjid (orang Islam) yang di dalamnya banyak disebut-sebut nama Allah. Dan sesungguhnya, Allah pasti menolong orang yang menolong agama-Nya (agama Islam). Sesungguhnya, Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkara.” [Surah al-Hajj: 39-40]

Apa yang dilakukan menerusi Operasi Taufan al-Aqsa merupakan suatu bentuk tindak balas yang sangat tegas dan isyarat yang jelas terhadap penjajahan, dasar perkauman dan sikap agresif yang dilakukan oleh rejim Zionis selama beberapa dekad.

Sesungguhnya, kami berbangga dengan rakyat Gaza yang tetap bertahan walaupun mereka dizalimi dan kami juga memuji betapa teguhnya keimanan dan penentangan yang dilakukan menerusi operasi yang telah mencipta sejarah ini. Sekali gus menjadi petanda untuk mempamerkan kebencian yang tersembunyi dalam hati rakyat Palestin dan suatu tindak balas selepas tujuh dekad kekejaman yang telah dilakukan oleh Zionis serta ketidakpedulian dunia terhadap mereka. 

  • Sesungguhnya, isu  yang melanda Palestin dan al-Quds ialah suatu isu yang telah menyatukan seluruh pelosok dunia Islam, dan Gaza pada hari ini telah menjadi simbol pertembungan antara kebenaran dan kebatilan, selain menjadi barisan hadapan bersama umat Islam dalam menghadapi keangkuhan dunia dan Zionis antarabangsa.

Ia menjadi suatu titik perubahan dalam hubungan antarabangsa dan tamadun dunia moden, dan sebarang pengabaian dan pengkhianatan terhadap Palestin dan Gaza akan menjadi ketidakadilan yang sangat jelas terhadap tujuan dan masa depan dunia Islam, serta nilai dan tabiat kemanusiaan yang dikongsi bersama.

  • Menepati ayat al-Quran yang mulia, sebagaimana firman Allah SWT:

﴿…مَن قَتَلَ نَفۡسَۢا بِغَيۡرِ نَفۡسٍ أَوۡ فَسَادٖ فِي ٱلۡأَرۡضِ فَكَأَنَّمَا قَتَلَ ٱلنَّاسَ جَمِيعٗا… ٣٢﴾

“…Sesiapa yang membunuh seorang manusia tanpa alasan yang membolehkan untuk membunuh orang itu atau bukan kerana (dia) membuat kerosakan di muka bumi, maka seolah-olahnya dia telah membunuh seluruh manusia…” [Surah al-Ma’idah: 32]

Penangkapan serta-merta tanpa sebarang sebab antara bentuk jenayah kemanusiaan yang dilakukan oleh tentera rejim Zionis ke atas penduduk awam. Selain itu, gencatan senjata yang diadakan bagi menghentikan serangan ke atas penduduk Palestin yang merupakan penduduk asal, terutamanya penduduk di Semenanjung Gaza. Sementara itu, menyokong perlindungan yang sah untuk memelihara nyawa orang awam Palestin yang tidak bersalah, bertepatan dengan kesedaran moral bagi rakyat yang bebas di dunia.

  • Membatalkan kepungan yang dikenakan ke atas Gaza dengan kadar segera, seterusnya menghantar misi bantuan kemanusiaan termasuk bantuan dari sudut perubatan dan juga bantuan dari sudut bekalan air, elektrik dan bahan api. Pada masa yang sama, segera membuka laluan yang selamat untuk menyalurkan bantuan yang diperlukan ke Semenanjung Gaza.

Malah, seluruh agama Samawi, undang-undang antarabangsa dan hati nurani semua masyarakat yang menginginkan kebebasan hendaklah melindungi hak asasi masyarakat awam dengan menyediakan tempat tinggal, air dan makanan. Dalam pada itu, menghalang mereka daripada diusir dari rumah mereka sendiri, tidak membiarkan mereka dalam kelaparan, dan tidak menafikan mereka sebarang laluan keluar masuk yang selamat bagi pihak yang ingin menyalurkan bantuan kemanusiaan.

  • Menyatakan kekesalan yang besar terhadap kelemahan dan kebaculan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk melaksanakan tanggungjawabnya dalam menjaga keamanan dan keselamatan antarabangsa dan menghentikan jenayah perang yang dilakukan oleh tentera penjajah Israel ke atas rakyat Palestin.

Selain itu, kegagalan badan dunia itu menuntut negara-negara anggota majlis untuk melaksanakan tugas mereka dengan jujur dan secara sebulat suara tanpa sebarang pertimbangan politik dan selaras dengan nilai kemanusiaan yang murni, dan mengeluarkan ketetapan yang menghalang pencerobohan kejam rejim Zionis yang merampas kuasa dan mengutuk mereka yang menyokong jenayah ini terutamanya Amerika Syarikat dan Britain.

Mengutuk sikap berat sebelah dalam memberikan perlindungan kepada penjajah, menyemarakkan konflik, dan memberikan perlindungan sewenang-wenangnya kepada penjenayah perang. Termasuk mendesak agar mengubah sistem antarabangsa dengan cara yang membela hak-hak orang yang tertindas berdasarkan nilai kemanusiaan sejagat dan norma ketuhanan.

  • Merujuk kepada ayat berikut:

﴿إِنَّمَا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ قَٰتَلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَأَخۡرَجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ وَظَٰهَرُواْ عَلَىٰٓ إِخۡرَاجِكُمۡ أَن تَوَلَّوۡهُمۡۚ وَمَن يَتَوَلَّهُمۡ فَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّـٰلِمُونَ ٩﴾

“Sesungguhnya, Allah hanya melarang kamu daripada menjadikan orang yang memerangi kamu dalam urusan agama (kamu) dan mengusir kamu dari kampung halamanmu serta membantu (orang lain) untuk mengusirmu sebagai teman rapat. Dan (ingatlah), sesiapa menjadikan mereka sebagai teman rapat, maka mereka itulah orang yang zalim.” [Surah al-Mumtahanah: 9]

Kami juga mengutuk jenayah dan pengkhianatan Amerika Syarikat dalam sokongan terhadap rejim Israel secara keseluruhannya, dengan memberikan bantuan persenjataan, perisikan, ekonomi dan politik dalam peperangan di Gaza. Kami menganggap halangan gencatan senjata yang dilakukan oleh Amerika Syarikat dengan memberikan bantuan-bantuan tersebut sebagai punca utama barisan hadapan pejuang di Iraq dan Yaman menyekat dan menghalang sumber bekalan Amerika Syarikat dan Israel.

  • Sementara itu, kami menyokong operasi penentangan yang menjadi barisan hadapan pejuang (Iraq dan Yaman), terutamanya tindakan berani yang dilakukan oleh rakyat Yaman dan kerajaannya dalam menentang Amerika Syarikat dan Yahudi Zionis. Maka, sesungguhnya kami mengecam sebarang bentuk jenayah yang dilakukan oleh Amerika Syarikat dan sekutunya dalam serangan yang dilancarkan ke atas bumi Yaman.
  • Menggesa Mahkamah Jenayah Antarabangsa untuk menyiasat jenayah yang dilakukan di Palestin selepas Operasi Taufan al-Aqsa yang mana ia dijadikan sebagai contoh yang jelas suatu bentuk jenayah perang dan pembunuhan secara beramai-ramai, serta memastikan adanya perbicaraan yang adil terhadap penjenayah-penjenayah ini di Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

Gesaan juga buat masyarakat yang sedang hidup bebas di seluruh dunia, terutamanya umat Islam untuk mengenal pasti dan mendedahkan penjenayah perang dalam kalangan perampas Zionis, serta mengisytiharkan dan merakamkan jenayah yang telah mereka lakukan.

  • Merasa sedih dan hiba yang sangat mendalam terhadap ribuan tahanan rakyat Palestin yang berada dalam keadaan susah yang terdiri daripada wanita dan kanak-kanak, sehingga mereka terpaksa berhadapan dengan seksaan dan layanan buruk. Maka, gesaan untuk menuntut pembebasan segera tanpa syarat dan menyokong keputusan Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk menjalankan siasatan secara bebas terhadap pencabulan hak asasi manusia yang meluas di semua wilayah yang diduduki, terutamanya di Semenanjung Gaza yang terkepung.
  1. Mengutuk sekeras-kerasnya penghijrahan paksa yang dilakukan terhadap penduduk Semenanjung Gaza. Pada masa yang sama, menekankan kelangsungan hidup rakyat Palestin di tanah mereka sendiri, serta menekankan kepentingan memainkan peranan masyarakat antarabangsa untuk menghalang sebarang percubaan untuk mengeluarkan setiap daripada mereka ini dari Semenanjung Gaza.
  1. Sesungguhnya, para ulama’ dan tokoh yang menyertai persidangan ini, menetapkan bahawa sebarang kerjasama dengan rejim Zionis, golongan pelampau yang menceroboh dan golongan yang memenuhi keperluan mereka adalah dilarang sama sekali. Selain itu, juga diseru seluruh negara Islam untuk memutuskan atau setidak-tidaknya menggantung sebarang jenis hubungan politik dan ekonomi dengan rejim Zionis serta melarang diadakan sebarang aktiviti ekonomi dan perdagangan. Sekali gus mengharapkan tindakan yang serius dan segera dalam hal ini. Ini berdasarkan ayat al-Quran:

﴿… وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰۖ وَلَا تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٰنِۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ ٢﴾

“…Dan hendaklah kamu tolong-menolong dalam membuat kebajikan dan bertaqwa. Dan janganlah kamu tolong-menolong dalam berbuat dosa (maksiat) dan pencerobohan (melampaui batas-batas ajaran Allah) dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya, Allah amat berat azab-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).” [Surah al-Ma’idah: 2]

  1. Kami menggesa kepada seluruh umat Islam untuk berusaha sedaya upaya untuk turut serta dalam pembinaan semula Gaza dengan jihad harta. Ini bersesuaian dengan firman Allah SWT:

﴿إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَهَاجَرُواْ وَجَٰهَدُواْ بِأَمۡوَٰلِهِمۡ وَأَنفُسِهِمۡ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ وَٱلَّذِينَ ءَاوَواْ وَّنَصَرُوٓاْ أُوْلَـٰٓئِكَ بَعۡضُهُمۡ أَوۡلِيَآءُ بَعۡضٖۚ…٧٢﴾

“Sesungguhnya, orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dengan harta benda dan jiwa raga mereka pada jalan Allah dan orang (Ansar) memberikan tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang Islam yang berhijrah itu), mereka semuanya saling menyokong dan membela antara satu dengan yang lain…” [Surah al-Anfal: 72]

  1. Satu-satunya cara untuk mencapai kesejahteraan, keamanan dan kestabilan di rantau ini adalah dengan menamatkan penjajahan Israel dan kekejaman yang telah dilakukan ke atas rakyat Palestin. Menjadikan rakyat Palestin mendapatkan semula hak-hak mereka yang tidak boleh dipisahkan, terutamanya hak untuk menentukan nasib sendiri, hak kemerdekaan, dan hak untuk kembali ke tanah mereka. 

Perubahan yang besar ini mestilah dilibatkan semua rakyat Palestin yang mulia, sama ada Islam, Kristian atau Yahudi, dan membentuk sistem politik majoriti yang dipilih berdasarkan referendum yang merupakan penyelesaian terbaik untuk konflik yang melanda Palestin.

  1. Terima kasih kepada masyarakat dunia di Asia, Eropah, Amerika dan Afrika, serta negara Islam terutamanya para ulama’ dan pusat-pusat agama atas kehadiran mereka yang memberi kesan dalam kebangkitan Islam dan kemanusiaan ini, dan menekankan keperluan untuk meneruskan sokongan antarabangsa ini sehingga semua matlamat Operasi Taufan al-Aqsa ini tercapai.

Kesimpulannya, para ulama’ dan tokoh yang mengambil bahagian dalam persidangan ini merasa bangga dan mengingati pengorbanan para pejuang yang telah beroleh syahid dan menghormati para pejuang Palestin dan pasukan pejuang yang berani. Mereka menyeru masyarakat antarabangsa, semua kerajaan, dan negara-negara bangsa Arab dan Islam di seluruh dunia dan yang negara merdeka lainnya untuk mendapatkan hak yang dijamin oleh agama mereka dan bersama kebangkitan umat Islam Palestin untuk bergerak menyelamatkan bangsa ini.

Kami memohon semua umat Islam untuk terus berdoa kepada Allah agar menghapuskan segala kekejaman dan jenayah penjenayah ini dalam hari-hari yang diberkati ini, dan kami memohon kemenangan daripada Allah buat umat Palestin seluruhnya.

﴿تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَتُجَٰهِدُونَ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ بِأَمۡوَٰلِكُمۡ وَأَنفُسِكُمۡۚ ذَٰلِكُمۡ خَيۡرٞ لَّكُمۡ إِن كُنتُمۡ تَعۡلَمُونَ  ١١﴾

“Kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya serta berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu, yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).” [Surah al-Saff: 11]

- Advertisement -