‘Jangan kaitkan PAS atau PN dengan ini’

Tuan Guru Dato' Hashim Jasin
- Advertisement -

ARAU: Dalam satu kenyataan tegas, PAS mengutuk dan menentang keras sebarang bentuk keganasan, khususnya yang melibatkan letupan dan molotov cocktail di kediaman Ahli Parlimen Beruas, Dato’ Ngeh Koo Ham, baru-baru ini.

- Advertisement -

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin, menegaskan bahawa PAS dengan tegas tidak bersetuju dengan serangan sedemikian.

Beliau menyeru agar Koo Ham atau pihak lain tidak mengaitkan PAS atau gabungan PERIKATAN NASIONAL (PN) dengan insiden tersebut.

“Tindakan tegas perlu diambil terhadap pelaku, tanpa mengira pihak yang terlibat.

“Jangan kaitkan PAS atau PN dengan ini, kerana kami menentang keras tindakan keganasan seperti ini.

“Walaupun melibatkan pemimpin DAP, kami tidak menyokong tindakan keganasan,” ujar beliau ketika dihubungi hari ini.

Media sebelum ini melaporkan bahawa Menteri Kabinet mengutuk serangan terhadap kediaman Koo Ham dan menyifatkan tindakan itu sebagai pelanggaran undang-undang.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil, memberi jaminan bahawa pihak berkuasa akan mengambil tindakan tegas terhadap penyerang.

Kejadian tersebut, yang berlaku sekitar pukul 3 pagi, Molotov cocktail menyebabkan kebakaran di kediaman Koo Ham di Lorong Semarak Jaya, Ayer Tawar.

Tiga kenderaan, termasuk Mercedes E300, musnah, dan terdapat kerosakan di siling dan bumbung garaj.

Sebagai respons terhadap serangan tersebut, Koo Ham memaafkan penyerang tetapi menuduh PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memanipulasi isu ini untuk menimbulkan kebencian awam.

Hashim menegaskan bahawa, walaupun berbeza pendirian politik, tindakan membakar dan merosakkan harta individu adalah tidak dapat diterima.

“Kami tidak boleh terima tindakan seperti ini, dan PAS dengan jelas menentangnya,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/1/2024

- Advertisement -