KUALA TERENGGANU: Tenaga Nasional Berhad (TNB) disarankan untuk mengkaji semula cadangan penutupan pengoperasian Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) di Muadzam Shah, Pahang.
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang, Ahmad Azlan Abu Bakar CA (M) berkata, Muadzam Shah sinonim dengan diberi gelaran Hub Pendidikan Negeri Pahang.
Menurutnya, ini kerana di Pahang ada UNITEN, Politeknik, Kolej Vokasional, Sekolah Berasrama Penuh, MRSM dan beberapa sekolah harian di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Cadangan penutupan pengoperasian UNITEN di Muadzam Shah memberi implikasi yang kurang baik khususnya kepada kelangsungan pendidikan anak-anak muda dan juga pembangunan ekonomi setempat.
“Tular kembali mengenai cadangan penutupan operasi UNITEN. Sebagai anak jati Muadzan Shah saya melihat perkembangan sebelum wujudnya UNITEN di sini dan juga selepas wujudnya institusi terbabit.
“Yang mana sejak pengoperasiannya di sini sebenarnya telah menggalakkan perkembangan ekonomi kepada penduduk setempat khususnya buat penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Muadzam Shah dan Parlimen Rompin secara amnya,” ujarnya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Beliau juga berpandangan sekiranya cadangan penutupan UNITEN diteruskan ia sekali gus menjatuhkan kredibiliti TNB sebagai antara syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang gah di negara ini.
“Antara solusi yang boleh digiatkan oleh pihak UNITEN dan TNB dengan melipatkan gandakan promosi khususnya program huffaz profesional yang kini antara program yang sangat mendapat sambutan dikalangan anak muda dan ibu bapa,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/1/2024