Ayah Chik dan pesan-pesan berharga wakil rakyat PAS

- Advertisement -

PERUBAHAN landskap politik negara setahun dua ini turut menyebabkan berlakunya anjakan mobiliti sosial kepada sebahagian pimpinan PAS yang bergelar wakil rakyat. Anjakan harkat sosial kadang paralel dengan perubahan gaya hidup dan cara berfikir manusia. Kita juga tak pernah terfikir hegemoni daulah berjaya diruntuhkan, aparatus kerajaan bukan lagi faktor besar yang mampu menopang hegemoni kuasa. BN melemah dengan pantas, manakala PH ditolak oleh orang Melayu. PAS menghantar paling ramai anggota legislatif ke Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri-negeri.

Minggu ini PAS menganjurkan permukiman khas untuk pemimpin-pemimpinnya, juga Konvensyen Wakil Rakyat PAS di Bangi dalam kekecohan netizen bercakap mengenai angin perubahan kuasa di Putrajaya. Setahun lebih kuasa Kerajaan Anwar, dengan pencak semakin salah tingkah, perlecehan kepada Islam sudah tak terlindung, pesta pora maksiat semakin menggebu, laungan reformasi menjadi bagasi kepada penuturnya. Namun ada yang membimbangkan daripada ujian kemenangan kepada pimpinan, daripada mimbar masjid surau ke koridor kuasa dengan gemerlapan takhta. Segalanya menguji dan meruntun jiwa, ujian kemenangan adalah sangat berlapis dan boleh menjadi boomerang yang membaham tengkuk jika tak dikawal daripada awal.

- Advertisement -

Ayah Chik mengingatkan semua anggota legislatif PAS agar menjadi kelompok yang menentang kemungkaran, itulah antara matlamat kekuasaan berdasarkan surah al Hajj ayat  41. Menentang kezaliman penguasa yang melencong daripada panduan syariat, politik Islam yang didukung PAS mempunyai rujukan al Quran dan al Hadis. Tuan Guru Ayah Chik mengingatkan dengan tegas kepada wakil rakyat dalam menanggani sikap dan tarikan pesona kepada mandraguna kuasa dan kekuasaan. Apabila PAS memenangi banyak kerusi dalam PRU15 dan PRUN15 maka rakyat akan sentiasa memerhatikan cara hidup pimpinan PAS. Teringat penulis juga akan almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz, ingatan dalam usrah Qiadi, agar jangan bermegah dan bermewah. Menjadi pimpinan adalah pelayan rakyat, jangan rakus membesarkan rumah kediaman, menukar kenderaan mewah, menambah koleksi bini, berwisata keluar negara dengan keluarga dalam keadaan rakyat mengikat perut.

Almarhum Ayah Ziz memberikan cadangan kepada pimpinan agar mengamalkan puasa sunat dengan serius. “Kita ni, kalau makanan halal pun kita tak makan, takkan makanan  haram kita akan makan” pesannya lirih kepada para pimpinan. Kurikulum tersembunyi daripada puasa sunat Isnin Khamis begitu sekali menatijahkan impak besar kepada pimpinan Kerajaan Kelantan. Selama tiga dasawarsa, PAS memerintah Kelantan tanpa adanya sabitan kes SPRM. Puasa sunat menghancurkan obsesi kuasa, menjadikan jasad sihat serta menyelimutkan akhlak mulia kepada pengamalnya. Ayah Chik Tuan Guru Presiden antara pengamal puasa sunat dan sangat gembira jika anak-anak buah mengosongkan perut pada hari Isnin dan Khamis. 

Syahdu menggamit relung hati kami pada hari ini apabila Tuan Guru Presiden PAS yang kami mesrai dengan panggilan Ayah Chik berpesan kepada semua wakil rakyat dan seluruh pimpinan agar menjaga cara hidup. Murabbi ini sebelum ini tidak mahu meletakkan dirinya dalam barisan Kabinet, beliau memantau anak-anak buah bekerja dalam Kabinet PN sebelum ini. Pesan Ayah Chik agar semua pimpinan PAS kena pastikan isteri dijaga dengan baik, tidak menunjuk-nunjuk kepada orang kampung. Memperagakan kekayaan adalah sikap yang jelek, apatah lagi kepada pimpinan gerakan Islam.

Suasana bening seketika, seolah memotong keseronokan kami dalam dewan berhawa dingin Hotel Tenera di era kemenangan. Ayah Chik menarik nafas yang bergelombang, “hargai anak-anak buah, pengikut kerana ada yang hidupnya susah berjuang“… bergetar suara dan sebak Ayah Chik mengingatkan semua wakil rakyat. “Jangan bergaduh dengan jentera parti, kuatkan cawangan-cawangan. Merekalah yang paling rapat dengan akar umbi masyarakat. Ambil peluang perbanyakkan cawangan-cawangan dalam era tamkin kerana masyarakat akan cenderung kepada kita.”

Kami semua diam tak berkutik diingatkan oleh murabbi Presiden. Jawatan bukan kemuliaan namun ianya satu tanggungjawab, ada kira bicara di akhirat di samping ahli-ahli jamaah  melakukan observasi. Itulah PAS, bergerak di dalam harakatul ummah ini sentiasa kita diingatkan dengan hari akhirat. Moga kuasa dan kekuasaan tidak menggerus keperibadian pimpinan PAS. “The power is sweet” ujar politikus tanpa kitab, mandraguna kuasa adalah sangat menggerunkan!. “Jangan pula mencari harta, perhatikan masalah masyarakat …ikhlaskan niat, jangan langgar baiah kita, lihat pengajaran dalam PAS, mereka yang melanggarkan baiah dan kesan kepada kehidupan mereka… bahkan ada sekolah mereka mati, kuliah hilang pendengar. Sentiasa kita bermuhasabah,” kata Tuan Guru yang baru sahaja  mendapat rawatan dan pemantauan doktor, namun besar kecintaan Ayah Chik kepada perjuangan, memberikan pengisian adalah terapi buat murabbi ummah ini.

DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Pengerusi LESTARI – HARAKAHDAILY 12/1/2024

- Advertisement -