SPRM panggil Presiden KFA beri keterangan

Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor
- Advertisement -

ALOR SETAR: Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, hadir ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya, hari ini.

- Advertisement -

Beliau dipanggil untuk memberi keterangan berhubung kes rasuah RM6 juta yang dikaitkan dengan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

Sanusi sebelum itu memberi jaminan akan memberi kerjasama kepada mana-mana pihak berhubung isu berkenaan dan selain menegaskan tuduhan kepada empat individu termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KFA adalah fitnah.

Dalam pada itu Pengarah Kanan Siasatan, Datuk Seri Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya kini di peringkat akhir bagi melengkapkan kertas siasatan berhubung dakwaan rasuah itu.

Justeru Presiden KFA itu ujarnya dipanggil bagi melengkapkan siasatan terbabit.

Sanusi pada sidang media 8 Januari lalu memaklumkan, fokus tuduhan yang sebenarnya adalah kepada dirinya untuk menunjukkan banyak berlaku kes rasuah sejak Kedah ditadbir PERIKATAN NASIONAL (PN).

Beliau juga menyifatkan tuduhan adalah tidak masuk akal kerana empat yang tertuduh merupakan dari golongan kurang berkemampuan malah sering dibantunya untuk urusan persekolahan anak-anak.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jeneri itu juga berkata, jumlah wang sebenar adalah RM5 juta bukan RM6 juta seperti didakwa masuk ke akaun KFA bukannya akaun tertuduh.

Malah KFA sendiri beroperasi dengan sumbangan dan pembiayaan penyumbang dan bukannya syarikat berasaskan keuntungan.

Sementara KFA juga katanya tidak akses kepada program yang dibuat secara tender terbuka dan tidak terlibat dengan projek litar.

Terdahulu, CEO KFA dan tiga individu lain termasuk dua perunding berusia antara 40 hingga 60 tahun ditahan SPRM bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah bernilai RM6 juta.

Wang rasuah tersebut didakwa kononnya sebagai balasan bagi membantu seorang pemilik syarikat mendapatkan tender projek pembinaan litar lumba dan projek mengurus, mengoperasi serta menyelenggara lima loji takungan air di Kedah.

“Apa yang berlaku ketika ini adalah kezaliman pihak tertentu yang menggunakan agensi kerajaan untuk tujuan politik dan kepuasan peribado.

“Saya akan membongkar plot sebenar yang berlaku dalam pelbagai isu termasuk insiden berkenaan,” tegasnya Isnin lalu. – HARAKAHDAILY 11/1/2024

- Advertisement -