Rakyat seperti seronok tunggu Langkah Dubai

Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya.
- Advertisement -

KEBELAKANGAN ini muncul pula langkah baharu. Kali ini disebut Langkah Dubai. Ia cuba digambarkan seperti Langkah Sheraton 1.0.

- Advertisement -

Pada akhir tahun 2022 disebut Langkah Jakarta. Kebetulan ketika itu dua bekas Naib Presiden Umno Ismail Sabri dan Mahdzir Khalid berada di Jakarta. Dan terserempak pula dengan Muhyiddin Yassin. Maka lahirlah Langkah Jakarta.

Tidak lama kemudian muncul pula Langkah London. Turut didakwa berada di England ketika itu Muhyiddin. Maka kehadiran pemimpin Umno dan Perikatan Nasional (PN) digambarkan sebagai komplot sulit.

Teori Langkah Dubai diuar-uarkan Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) J-KOM Ismail Yusop. Beliau dilapor mendakwa Langkah Dubai timbul ekoran percutian pemimpin PN dan wakil rakyat kerajaan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini.

Sedangkan Menteri Besar Kedah Sanusi Mohamad Nor menganggap langkah seumpama itu tidak perlu dirancang di Dubai, di Chow Kit pun boleh.

Agenda itu sengaja disebar pada awalnya untuk mempalitkan wajah hodoh PN. Sedangkan hakikatnya mereka memiliki kuasa politik benar-benar bimbang. Buktinya pernah berlaku pada episod Februari 2020.

Ketika kita menunggu bayang-bayang Langkah Dubai, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri 1 Zahid Hamid dilihat benar-benar gusar.

Gusar kerana mereka masih ingat ketika kerajaan Madani dibentuk, PN disebut sudah memiliki 115 sokongan ahli parlimen.

SD

Pada 22 November 2022 Muhyiddin yang juga Pengerusi PN mendakwa pihaknya menyerah dokumen mengandungi akuan berkanun (SD) daripada 115 Ahli Parlimen kepada Istana Negara.

“Dokumen itu dihantar secara atas talian dan ia disahkan diterima pihak istana,” ujarnya.

Sehari kemudian tular sepucuk surat tular di media sosial. Surat itu mendakwa 30 ahli Parlimen BN menyokong sepenuhnya pembentukan kerajaan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan menamakan Pengerusi PH Anwar sebagai calon perdana menteri.

Surat berkenaan bertarikh 22 November dan ditandatangani Pengerusi BN, Zahid. Zahid memaklumkan perkara itu dipersetujui pada mesyuarat Dewan Tertinggi BN pada Selasa.

“Patik selaku Pengerusi BN memaklumkan bahawa 30 orang ahli Dewan Rakyat BN memberi sepenuh kepercayaan dan sokongan kepada Ahli Parlimen Tambun, Anwar untuk dilantik sebagai perdana menteri Ke-10,” kata Zahid menerusi surat berkenaan.

Persoalannya bolehkah sekadar surat menyatakan sokongan daripada sebuah parti politik dituju kepada Istana Negara. Sedangkan pada surat itu tidak disebut ada lampiran SD setiap ahli parlimen terbabit.

Sedangkan sebelum itu Muhyiddin sudah memilki SD. Apa sebenarnya SD. Ia merupakan Surat Akuan Berkanun (Statutory Declaration). Atau dikenali sebagai SD.

SD dikawal selia di bawah Akta Akuan Berkanun 1960 (Akta 13). Surat akuan digunakan dalam proses perundangan. Banyak pejabat kerajaan menggunakan surat akuan dalam memproses permohonan tertentu daripada orang ramai.

Pemerhati politik tempatan Yassin Yusof berkata, sokongan seperti dinyata Zahid tanpa SD dianggap tidak valid. Kata beliau SD digunakan secara meluas bagi menyatakan hasrat hati seseorang.

“Adakah memadai dengan sepucuk surat yang berlambang parti tanpa ada SD boleh Pengerusi BN menyatakan 30 ahli parlimen BN menyokong Anwar. Ia kelihatan benar-benar janggal,” katanya.

Berdasar kronologi itu ramai mempersoalkan keabsahan sokongan Umno dan BN terhadap Anwar pada November 2022. Sedangkan SD sokongan terhadap Muhyiddin lebih jelas dan berdokumen.

Berpangkal lojik tersebut, ura-ura Langkah Dubai boleh berlaku bagi membetulkan semula keadaan.

Peralihan

Malah bagi Pengarah Pusat Kajian Strategi Kelantan Dr Wan Nik Wan Yussof konflik dalaman PH boleh mempercepatkan lagi proses peralihan kerajaan.

Kata beliau Anwar seperti membiarkan DAP mengeluarkan kenyataan yang melukakan Umno dan orang Melayu.

Kenyataan pemimpin DAP berkaitan pilihan raya kerajaan tempatan dan pakar perlembagaan bukan Islam dilantik dalam Jawatankuasa Mengkaji Bidang Kuasa Mahkamah Syariah benar-benar mencabar.

“Itu belum lagi diambil kira harga beras yang gagal ditangani kerajaan Madani sehingga sekarang. Dan mulai 1 Januari lepas cukai jualan 10 peratus pula dikenakan,” ujarnya.

Kerisauan turut disuarakan bekas Naib Canselor USM, Dr Dzulkifli Abdul Razak. Katanya jelas tiada ruang untuk bersembrono. Sekiranya berani kerana benar. Bukan kemunafikan, menidakkan janji dan membisukan hati suci! Tuhan jua Maha Mengetahuai.

Berdasar kemelut yang tidak selesai itu rakyat nampaknya seperti seronok bercakap Langkah Dubai. Bayang-bayang Muhyiddin berjumpa dengan ahli parlimen Umno tiba-tiba menjadi kerisauan amat sangat.

Sekadar minum kopi semeja pun dianggap membuka langkah. Paling dibimbangi Langkah Sembrong atau Langkah Bera.

Anwar dan PH tidak boleh menyalahkan pihak lain sekiranya Putrajaya berubah lagi selepas ini. Masa sesungguhnya cepat berlalu. Apa pun kita tunggu dan lihat. – HARAKAHDAILY 4/1/2024

- Advertisement -