PADU: Kerajaan tak perlu gelojoh

- Advertisement -

Pangkalan Data Utama (PADU) adalah sebuah inisiatif oleh kerajaaan Madani dalam menyediakan sebuah pangkalan data rakyat secara berpusat.

- Advertisement -

Insiaitif ini pada asalnya dirangka bagi memudahkan urusan pemberian subsidi secara bersasar kelak.

PADU telah pun dilancarkan secara gah dan gilang gemilang oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan PMX Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 3 Januari 2024.

Namun begitu, sebalik pelancaran yang penuh optik. Terdapat pelbagai masalah yang timbul pada awal pelancaran sistem ini.

Antaranya termasuklah ciri keselamatan yang lemah sehingga memberi risiko data peribadi rakyat dibocorkan dan dicuri penggodam.

Hal ini sebagaimana diakui sendiri oleh Dr Ong Kian Ming, mantan ahli Parlimen Bangi dari DAP yang menggesa agar sistem PADU ditangguhkan sementara waktu bagi memastikan ciri keselamatan ditambahbaik terlebih dahulu.

Apa yang berlaku adalah, pengguna boleh terus mendaftarkan akaun baharu cukup dengan menggunakan maklumat nombor kad pengenalan sahaja. Sudah pasti perkara ini memberikan ruang kepada penggodam dan individu tidak bertanggungjawab untuk mencuri maklumat penting rakyat.

Selain itu, timbul juga masalah teknikal yang memungkin mana-mana individu untuk set semula kata laluan pengguna PADU hanya menggunakan nombor kad pengenalan seseorang. Meskipun masalah ini sudah dibaiki, sepatutnya dari mula lagi ia tidak wajar ada.

Hal ini sekali gus menambahkan keresahan dan keraguan rakyat sekali gus memungkinkan objektif pembangunan PADU tidak dapat direalisasikan. Bukankah ini juga satu kerugian kepada kerajaan Madani dan Rafizi?

Satu lagi aspek yang wajar ditambahbaik adalah dari segi paparan pengguna yang tidak mesra dan susah dikendalikan. Perkara ini wajar dicermati semula memandangkan tidak semua rakyat Malaysia khususnya dari warga emas mampu berinteraksi dengan teknologi dengan mudah.

Urusan yang sepatutnya memudahkan permohonan subsidi dan meringankan beban rakyat sepatutnya dirangka secara lebih holistik.

Selain itu, mekanisme utama PADU yang menggunakan data rakyat bagi mengkelaskan tahap ekonomi juga wajar dikaji lebih mendalam. Memandangkan terdapat rakyat yang layak menerima bantuan subsidi namun sebenarnya berkemampuan ekoran mempunyai pendapatan tidak dicukaikan seperti pendapatan daripada bayaran sewa rumah.

Menguruskan data jutaan rakyat sudah pasti bukan sesuatu yang mudah. PADU adalah inisiatif berniat baik yang wajar disokong. Namun meletakkan risiko jutaan rakyat hanya kerana ingin dilihat ‘tangkas’ dan ‘buat kerja’ adalah satu tindakan tidak bertanggungjawab oleh kerajaan Madani dan Rafizi.

Kita juga maklum PADU adalah sistem dibangunkan oleh penjawat awam. Sudah pasti kita menghargai penat lelah penjawat awam untuk memastikan sistem ini dijayakan. Namun begitu, PADU juga bukanlah program diusahakan secara peribadi yang boleh dibuat secara tergesa-gesa. Risiko dan pemegang taruh yang pelbagai menjadi faktor penting dalam PADU.

Adalah tidak wajar politikus PH meletakkan beban kekurangan hanya pada penjawat awam sedangkan yang memegang kuasa dan kata putus adalah menteri sendiri. Janganlah hanya pada waktu senang,menteri mendabik dada bahawa itu adalah jasa mereka, tetapi apabila terdapat kekurangan yang perlu dikritik digunakan alasan bahawa usaha tersebut digerakkan penjawat awam. Senang kerja menteri PH.

Paling penting, PADU tidak wajar dilancarkan dalam keadaan ia tidak selaras dengan undang-undang sedia ada di negara kita. Data yang dikongsikan oleh rakyat dalam PADU tidak dilindungi Akta Perlindungan Data Peribadi kerana akta ini tidak terpakai kepada kerajaan negeri dan Persekutuan.

Jika berlaku apa-apa kebocoran data rakyat, yang mana risikonya telah ditunjukkan pada hari pertama pelancaran PADU maka kerajaan tidak perlu bertanggungjawab.

Selain itu, bagi memastikan agenda PADU benar-benar berjaya dan efisien, kerajaan sepatutnya menggubal terlebih dahulu Akta Omnibus sepertimana dicadangkan oleh beberapa pakar keselamatan siber. Akta Omnibus ini lah yang akan membenarkan perkongsian silang data antara agensi awam yang mana data-data rakyat telah sedia ada disimpan.

Barulah integrasi data rakyat dapat dibuat dalam pangkalan data utama dan tidak menyusahkan rakyat untuk membuat kerja dua kali.

Kesimpulannnya, kerajaan tidak boleh gelojoh dalam melancarkan PADU serta perlu lebih telus dalam aspek-aspek penting seperti keselamatan data peribadi rakyat. Tangguhkan PADU sementara mekanisme terbaik diwujudkan. Bimbang kelak, objektif asal PADU tidak tercapai, nanti yang tinggal hanyalah kepala-kepala berita PADU yang disensasikan kerajaan Madani sahaja.

Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 4/1/2024