Isu air Pahang tiada kesudahan

- Advertisement -

KUANTAN: Ahli Parlimen Temerloh, Salamiah Mohd Nor melahirkan rasa terkilan terhadap kerajaan negeri yang sangat perlahan dalam mengambil tindakan terhadap masalah air yang dihadapi oleh rakyat.

- Advertisement -

Beliau berkata, masalah air itu bukan sahaja berlaku di parlimen Temerloh bahkan hampir seluruh Pahang.

“Tindakan daripada kerajaan negeri sangat perlahan dan seolah-olah tidak menampakkan kepentingan air sebagai keperluan asas rakyat bukan sahaja di Temerloh, tetapi di seluruh Pahang.

“Kita mendengar rintihan YB-YB yang hadir menyebut bahawa masalah air ini masalah seluruh negeri Pahang, tetapi kenapa sampai hari ini tidak ada tindakan,” katanya.

Tambahnya, sedangkan rakyat diuar-uarkan bahawa pendapatan kerajaan negeri telah meningkat berapa juta.

“Jadi kita mengharapkan kewangan itu mestilah dimanfaatkan untuk kepentingan rakyat,” katanya ketika ditemui Harakahdaily selepas majlis Hi-Tea Badan Perhubungan PAS Negeri Pahang, bersama rakan media negeri ini di D’Banquet Event & Mana-mana Cafe Jalan Teluk Sisek di sini, petang semalam.

Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia itu sudah memohon diadakan loji rawatan air yang kedua.

Ini kerana, katanya loji rawatan air yang pertama tidak mencukupi disebabkan berlaku kekangan masalah air di merata kawasan bukan sahaja taman-taman baharu termasuk juga hujung daripada Temerloh di Lanchang.

“Walaupun diberi satu alasan bahawa loji rawatan air di Karak dia kata sudah siap tapi sebenarnya loji itu hanya membekalkan berapa peratus sahaja untuk kepentingan air di Temerloh dan sampai hari ini sudah 60 tahun kita merdeka,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan BN khususnya di negeri Pahang seolah-olah pekak dan tuli tidak tahu rintihan rakyat di bawah.

“Maknanya kami sebagai ahli parlimen, Adun yang ada (di sini) kami yang menjadi sasaran mereka (rakyat).

“Mana Adun ini tidak buat kerja dan sebagainya padahal hakikatnya siapa yang bertanggungjawab, jadi kami mengharapkan supaya tindakan segera diambil dan perkara ini mesti selesai.

“Kita tidak mahu masalah isu ini meletup, seluruh rakyat bangkit dan sebelum ini rakyat sudah buat demokrasi tapi seolah senyap begitu sahaja,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/1/2024

- Advertisement -