Data dikumpul kerajaan tidak dilindungi undang-undang

Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal
- Advertisement -

MACHANG: Kerajaan PERIKATAN NASIONAL (PN) menubuh Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) pada Mac 2020 di bawah Kementerian Kewangan untuk membuat proses konsolidasi maklumat bagi tujuan analitik data.

- Advertisement -

Ia bagi melengkapi fungsi Jabatan Perangkaan yang mengumpulkan data secara lebih pukal.

Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal berkata, kewujudan unit tersebut menggambarkan kepentingan menggunakan teknologi dan bukti dalam proses pembikinan dan pelaksanaan dasar.

Begitu juga katanya kewujudan Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) untuk tujuan konsolidasi data bagi ukuran status sosioekonomi individu merupakan usaha yang murni.

Kata beliau ia wajar disambut baik kerana ia meneruskan proses yang dimulakan Kerajaan PN.

“Namun begitu Kerajaan Madani seolah-olah mengabaikan aspek-aspek penting dalam pelaksanaan.

“Aspek utama yang perlu diambil berat pastinya keselamatan data yang dikumpulkan. Pengumpulan data pada skala begitu besar tidak pernah dibuat dalam sejarah, namun dibuat hanya dengan kuasa eksekutif tanpa perlindungan perundangan.

“Kita harus ingat, di bawah undang-undang PDPA tidak seperti kerangka antarabangsa seperti GDPR Kesatuan Eropah, data yang dikumpulkan oleh kerajaan tidak dilindungi oleh undang-undang,” katanya pada kenyataan.

PADU dilancar Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa lepas. PADU dibangun pada Jun 2023 mengandungi 29 juta profil warganegara dan penduduk tetap.

Wan Fayshal yang juga Ketua Armada Bersatu Malaysia berkata, mantan timbalan menteri berkongsi beberapa kelemahan keselamatan sistem, antaranya orang lain boleh mendaftar bagi pihak individu tanpa kebenaran.

Selain itu kata laluan boleh dipinda oleh pihak ketiga, serta ‘Application Programming Interface’ (API) terdedah kepada akses awam.

“Ini juga menunjukkan ketempangan pendekatan Menteri Ekonomi apabila membina strategi bagi melaksanakan program agregasi data yang dirancang di bawah PADU.

“Kita belum tahu apa sistem keselamatan termasuk penyulitan (encryption) yang sepatutnya melindungi data kita.

“Adakah sistem keselamatan diuji secara menyeluruh dan dibuktikan tidak dapat diceroboh dengan mudah? Atau kita akan nampak data kita dijual di Shopee atau jaringan gelap (dark web) tidak lama lagi,” ujarnya.

Menurutnya juga keculasan sesuatu tidak boleh dipandang enteng. Malah kerajaan sepatutnya mengutamakan penggubalan undang-undang perlindungan dan perkongsian data melalui sebuah Rang Undang-undang Omnibus yang dicadangkan beberapa pihak sebelum ini.

Wan Ahmad Fayshal berkata, paling utama kini timbul defisit kepercayaan yang serius akibat ‘formula’ menteri yang buat kerja separuh jalan.

“Sekiranya tidak dibendung, ia berpotensi mewujudkan krisis keyakinan terhadap institusi kerajaan.

“Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen seharusnya menyiasat insiden-insiden yang berlaku supaya keselamatan data rakyat dapat dijamin. Selepas eksekutif gagal, Parlimen akan melaksanakan tanggungjawabnya,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/1/2024