Kejayaan Akkma mampu jadi aspirasi golongan asnaf

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyampaikan sijil kepada Doyah Bakar, nenek kepada Nur Hidayyatul Akkma.
- Advertisement -

ARAU: Kejayaan Nur Hidayyatul Akkma Mohd Khairi, memperoleh 8A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mendapat perhatian Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

- Advertisement -

Kejayaan itu amat membanggakan baginda berbangga apatah lagi beliau merupakan anak yatim piatu.

Baginda menzahirkan kegembiraan itu selepas berkenan mengurniakan Anugerah Ikon Didik Asnaf MAIPs 2023 kepada Nur Hidayyatul Akkma dalam satu majlis yang diadakan di Masjid Putra, Simpang Ampat, di sini, hari ini.

“Ketabahan beliau mengharungi hidup sebagai anak yatim piatu yang kehilangan kasih sayang ibu dan juga ayah serta kesusahan hidup yang dialaminya.

“Ia juga boleh menjadi inspirasi kepada orang ramai di luar sana terutama kepada anak-anak daripada golongan asnaf dan anak yatim untuk mengubah nasib mereka di masa depan,” titah baginda.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMA) Perempuan Alawiyah menerima wang tunai sebanyak RM1,000 serta cenderamata daripada pihak Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Anugerah berkenaan diterima nenek dan adiknya mewakili beliau yang kini sedang melanjutkan pengajian di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Perlis.

Nur Hidayyatul Akkma, 18, tinggal bersama-sama neneknya Doyah Bakar, 73, juga asnaf penerima bantuan daripada MAIPs, bercita-cita tinggi untuk menjadi seorang guru bagi mengubah nasib diri dan keluarganya.

Dalam majlis tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menyampaikan sumbangan kepada 140 asnaf terpilih dari Kariah Pauh Sanglang dan Kariah Permatang Bongor.

Masing-masing menerima sumbangan RM700 menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM98,000 diagihkan MAIPs pada majlis tersebut.

Baginda turut mengingatkan kepada semua agar menggunakan kesempatan di akhir tahun ini untuk menunaikan kewajipan berzakat yang telah difardukan.

“Setiap sumbangan zakat yang dilaksanakan melalui MAIPs mendapat pelepasan atau dikecualikan kadar tersebut dari membayar cukai pendapatan mengikut Akta Cukai Pendapatan 1967”, titah baginda.

Keberangkatan tiba baginda diiringi sama oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor. – HARAKAHDAILY 27/12/2023

- Advertisement -