Malaysia perlu tegas tangani pencerobohan perairan oleh China

- Advertisement -

ISU pencerobohan sempadan oleh China di Laut China Selatan, termasuk di perairan Sabah dan Sarawak, adalah berkaitan dengan tuntutan wilayah maritim yang melibatkan hak kedaulatan, zon ekonomi eksklusif (ZEE) dan kepulauan. 

Latar belakang ini dapat ditarik balik ke sejarah dan isu geopolitik. Berikut adalah beberapa faktor kunci yang mempengaruhi tuntutan China.

1. Nine-Dash Line:  China menuntut sebahagian besar Laut China Selatan dengan menggunakan peta yang dikenal sebagai Nine-Dash Line. Namun, tuntutan ini tidak diakui oleh sejumlah negara di rantau tersebut, termasuk Malaysia dan Filipina.

2. Kepulauan Spratly dan Paracel: Kedua kepulauan ini menjadi rebutan beberapa negara di Asia Tenggara termasuk China dan Taiwan. Tuntutan yang bertindih berlaku kerana kawasan sekitar kepulauan ini kaya dengan sumber alam seperti minyak dan gas.

3. Sumber alam: Laut China Selatan kaya dengan sumber alam, termasuk minyak dan gas, serta hasil ikan. Persaingan untuk menguasai sumber daya ini telah mewujudkan ketegangan antara negara-negara yang mengemukakan tuntutan di wilayah tersebut.

4. Kepentingan geopolitik: Penguasaan ke atas Laut China Selatan memberikan keuntungan strategik dalam hal keamanan dan pengaruh geopolitik. Perairan ini merupakan jalur pelayaran penting untuk perdagangan dunia dan memiliki nilai strategik untuk kekuatan serantau dan global.

5. Ketegangan Serantau: Persaingan dan ketegangan di Laut China Selatan telah menyebabkan sengketa diplomatik dan mengganggu gugat keamanan serantau. Negara-negara di sekitar Laut China Selatan, termasuk Malaysia dan Filipina, cuba mempertahankan hak kedaulatan mereka, yang sering kali bertentangan dengan tuntutan China.

Sepanjang tahun 2023, pencerobohan ini berterusan bermula dengan kapal pengawal Pantai CCG 5901 atau ‘the Monster’ dilaporkan dilihat di perairan ZEE Malaysia berhampiran Beting Patinggi Ali pada pada 15 Januari dan 18 Februari.

Pada 26 Februari, China masih meneruskan operasi dua kapal pengawal pantai jauh di dalam ZEE Malaysia berhampiran Beting Patinggi Ali, termasuk CCG 5901 dan telah menghampiri dalam 50nm dari pesisiran Malaysia. 

CCG 5901 adalah kapal pengawal pantai terbesar di dunia, seberat 12,000 tan.  Ia dibina pada tahun 2016 oleh Jiangnan Shipyard di Shanghai dan berkemampuan meluncur selaju 25 knot. Kapal gergasi itu telah digunakan oleh Beijing sejak seawal 2017 untuk melakukan rondaan di Laut China Selatan ‘bagi mempertahankan hak-hak maritim China’.

Kapal pengawal pantai China CCG 5402 sepanjang 100 meter dan seberat kira-kira 4,000 tan pula bukanlah kapal yang asing di perairan ZEE Malaysia  kerana ia kerap kali berada di sekitar perairan Beting Patinggi Ali sejak beberapa tahun lepas untuk melaksanakan tugas utamanya iaitu ‘mengganggu’ (harassing) aktiviti minyak dan gas Malaysia di perairan terbabit. 

Pada bulan April, kapal KM Bistari bertembung dekat hanya pada jarak 150 meter dari kapal China Coast Guard 5204 di Beting Patinggi Ali. Selepas pertembungan dekat ini, kapal KM Bistari berlayar ke Utara untuk memeriksa dua kapal khidmat luar sisir dan pelantar yang beroperasi berhampiran Beting Patinggi Ali Utara di mana CCG 5204 beroperasi dari 3 ke 5 April.

Pada bulan Mei, kapal skrap yang dinamakan ‘Chuan 68’ yang merupakan kapal China yang dimiliki oleh Fujian Ya Rui Marian disyaki mencuri tinggalan khazanah negara di perairan negeri Pahang. Khazanah yang dimaksudkan ialah bangkai kapal British Perang Dunia Kedua (WW2), HMS Prince Of Wales, yang dikatakan menjadi ‘mangsa’ rompakan kapal asing dari China.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah mengeluarkan kenyataan bahawa sebuah kapal yang berdaftar di Fuzhou, China, yang membawa 32 anak kapal telah gagal menunjukkan permit berlabuh sewaktu sesi rutin pemeriksaan di perairan Johor. Pihak berkuasa Maritim Malaysia telah membuat kenyataan bahawa mereka telah menemukan peluru meriam era Perang Dunia Ke-2 di sebuah kapal pengangkut China. Kapal tersebut telah ditahan berikutan kesalahan berlabuh di perairan Malaysia tanpa kebenaran.

Pada 20 Jun pula, sebuah kapal penyelidikan milik Kerajaan China, Haiyang Dizhi 8, menceroboh ke dalam ZEE Malaysia di Laut China Selatan, kira-kira 145 batu nautika dari pesisir Sarawak. Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah mengerahkan kapal auksiliari miliknya, KA Bunga Mas 5, seberat 9,000 tan untuk membayangi (shadow) dan memantau aktiviti kapal penyelidikan China tersebut.

Selepas 3 minggu melakukan tinjauan tanpa kebenaran di kawasan Beting Patinggi Ali dari 21 Jun ke 10 Julai, kapal penyelidik China, Haiyang Dizhi Ba Hao (HD), telah berundur ke Fiery Cross Reef untuk beberapa hari. Namun, kapal ini kemudiannya telah kembali semula ke kawasan Beting Patinggi Ali namun kali ini dengan diiringi China Coast Guard 5202.

Pada bulan Ogos, China mengeluarkan versi terkini peta wilayah rasminya yang merangkumi satu dash tambahan berbanding sembilan dash pada peta sebelumnya. Peta baru dengan ‘sepuluh dash’ ini merangkumi pulau Taiwan dan sebahagian besar Kepulauan Spratly, melanggar penentuan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS). 

Peta baru ini mendapat bantahan serta-merta dari ahli-ahli ASEAN seperti Indonesia, Malaysia, Filipina, dan Vietnam. India, Jepun, dan Taiwan juga menyuarakan ketidakpuasan hati mereka terhadap peta baharu berkenaan.

Pada bulan November, China Coast Guard 5403 tiba di kawasan Beting Patinggi Ali dalam ZEE Malaysia menggantikan CCG 5402. 

Semua ini menjadi petunjuk bahawa Beijing mengekalkan kehadiran pengawal pantai secara berterusan di sini bagi menguatkan tuntutan bidang kuasa ke atas perairan Malaysia dan operasi gas dan minyaknya. Ini di sebalik pendirian Malaysia dan kawalan di semua persempadanan perairan negara oleh kapal APMM.

Lebih-lebih lagi setelah pada 1 Disember PETRONAS melaporkan bahawa eksplorasinya di pesisir pantai Sarawak dan Sabah berjaya menerokai lebih 1 bilion tong minyak mentah di kawasan yang sama.

Keadaan yang sama berlaku bila media antarabangsa seperti Newsweek melaporkan pada 13 Disember bahawa gambar satelit terbaharu minggu itu memperlihatkan kapal militan laut China berkumpul di sekitar wilayah terumbu yang dinamakan Whitsun yang menjadi rebutan antara China dan Filipina.

Gambar pada 10 Disember yang dikeluarkan oleh penyedia imej satelit SkyFi mendedahkan apa yang didakwa lebih daripada 75 kapal militan laut China terikat bersama berhampiran terumbu yang terletak dalam ZEE yang diiktiraf secara antarabangsa milik Filipina, memberikan Manila hak berdaulat untuk memanfaatkan sumber hasil kawasan tersebut.

Militan laut China adalah armada kapal-kapal yang dibina khas untuk digunakan bersama-sama dengan Tentera Laut Pembebasan Rakyat China dan Pengawal Pantai China. Beijing tidak secara rasmi mengakui kewujudan kuasa militan laut ini dan mendakwa ia terdiri daripada sekumpulan nelayan patriotik.

Sifat tidak rasmi militan laut ini memberikan Beijing penafian yang munasabah apabila kapal-kapal itu memasuki wilayah dalam pertikaian. Pemerhati percaya kerajaan China menggunakan bot-bot nelayan itu untuk meningkatkan kawalan de facto ke atas kawasan yang dipertikaikan di Laut China Selatan, termasulah di kepulauan Spratly di mana Whitsun Reef terletak.

Pihak berkuasa antarabangsa telah menuduh armada kapal tersebut terlibat dalam kegiatan yang membahayakan dan bersifat agresif. Beberapa kapal mereka baru-baru ini dirakam terlibat dalam ketegangan di Scarborough Shoal dan Second Thomas Shoal yang berdekatan, di mana hak miliknya masih direbut antara Manila dan Beijing.

Pengarah SeaLight, Ray Powell, dilaporkan berkata apa yang cuba dilakukan oleh China sepanjang tahun adalah untuk menjadikan semua orang terbiasa dengan idea bahawa China ada di sini dan tiada sesiapa boleh menghilangkannya. Ideanya adalah mereka akan perlahan-lahan mengembangkan skop dan jangkauan mereka ke pinggir tuntutan sembilan garis mereka dan hampir hingga ke garisan pantai negara jiran mereka. 

Berdepan dengan keagresifan China di ZEE Malaysia dan Filipina di Laut China Selatan ini maka sewajarnyalah kerajaan lebih bertegas dalam menangani pencerobohan perairan Malaysia pada tahun 2024 dan tahun-tahun seterusnya demi kedaulatan tanah air tercinta.

MOHD AFIFI ABDUL RAZAK  
Penganalisis keselamatan Malaysia – HARAKAHDAILY 26/12/2023 

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -