Kem Belia Al Khaadem bantu Kempen TMP 2024-2025

- Advertisement -

ARAU: Seramai 360 peserta dari 18 negara menyertai Kem Belia Antarabangsa Al Khaadem yang berlangsung selama lapan hari bermula 18 Disember lalu.

- Advertisement -

Program yang bersifat antarabangsa itu secara tidak langsung membantu menghangatkan lagi Kempen Tahun Melawat Perlis (TMP) 2024-2025.

Selain Malaysia, turut mengambil bahagian ialah Australia, Brunei Darussalam, China, Mesir, Fiji, Jerman, Hong Kong, India, Indonesia, Kiribati, Kuwait, Maldives, Pakistan, Papua New Guinea, Arab Saudi, Singapura dan United Kingdom.

Program anjuran Pertubuhan Al Khaadem dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) Perlis turut dihadiri Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda,Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan.

Presiden Pertubuhan Al Khaadem, Datuk Sheikh Hussain Yee, memaklumkan, tujuan utama penganjuran kem belia tersebut adalah untuk menyemai adab dan nilai-nilai murni serta pengetahuan universal Islam ke dalam jiwa dan minda peserta.

“Antaranya peserta yang hadir pada program ini adalah daripada kalangan berumur 10 hingga 18 tahun.

“Program ini juga bertujuan untuk menyemai nilai-nilai kekeluargaan dan membentuk watak anak muda menjadi anak yang soleh serta solehah serta terhindar dari pengaruh negatif,” jelas beliau ketika menyembah maklum kepada Tuanku Raja Muda.

Dalam pada itu, pelbagai aktiviti fizikal yang menarik dan pengisian ilmu serta kerohanian dibuat sepanjang tempoh kem berkenaan berlangsung di beberapa lokasi menarik di Perlis.

Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Yang Dipertua MAIPs sangat mengambil berat berkaitan sektor pelancongan dalam negeri serta turut menzahirkan rasa sukacita atas penganjuran program berkenaan di negeri itu untuk kali kedua.

“Ia jelas menunjukkan tanda sokongan pelbagai pihak di peringkat antarabangsa bagi menyambut kempen Tahun Melawat Perlis 2024-2025 menjelang beberapa hari sahaja lagi,” titah baginda.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Datuk Sheikh Hussain Yee, Pengarah PTSS, Abdul Malek Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

Baginda berdua turut menyantuni para peserta selepas sesi pendaftaran di Pusat Islam PTSS, Pauh Putra di sini. – HARAKAHDAILY 26/12/2023

- Advertisement -