Banjir landa semula Pantai Timur

- Advertisement -

KOTA BHARU: Jumlah mangsa banjir di lima negeri terus meningkat ekoran hujan lebat berterusan sejak semalam.

- Advertisement -

Menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat tadi 87 pusat penempatan sementara (PPS) dbuka yang melibatkan 5,312 mangsa banjir daripada 1,556 keluarga.

Di Terengganu sebanyak 53 PPS dibuka yang menempatkan 2,459 mangsa daripada 712 keluarga.

Paling ramai mangsa banjir dicatatkan di Kelantan seramai 2,694 mangsa daripada 807 keluarga. Mereka ditempatkan di 27 PPS.

Di Pahang lima PPS dibuka yang menempatkan 155 mangsa banjir daripada 36 keluarga.

Di Selangor empat penduduk daripada sebuah keluarga dipindah ke sebuah PPS. Di Negeri Sembilan juga berlaku banjir namun belum ada mangsa yang dipindahkan.

Paling ramai mangsa banjir di Kelantan ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Periok Rantau Panjang melibatkan seramai 401 mangsa, di SK Gual To’ Deh menempatkan 336 mangsa.

Selain itu SK Sri Rantau Panjang 2 pula menempatkan 376 mangsa. Di Tanah Merah pula seramai seramai 117 mangsa banjir ditempatkan di SK Bendang Nyior dan 18 mangsa banjir dipindahkan ke Masjid Kuala Paku.

Di Machang seramai 51 mangsa ditempatkan di SK Pulai Chondong.

Di Gua Musang seramai 9 mangsa dipindahkan ke dewan Majlis Daerah Gua Musang di Bertam Baru dan 55 lagi ditempatkan di Rumah Masjid Kuala Betis.

Selain itu 58 lagi penduduk dipindahkan ke SK Kuala Betis dan SK Limau Kasturi 1 (40 orang).

Di Machang Pusat Khidmat Parlimen Machang menerima laporan orang ramai mengenai jalan mendap di hadapan PPR Bukit Belah.

Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal berkata, team Pusat Khidmat Parlimen Machang menghubungi JKR Cawangan Machang dan menutup kawasan mendap tersebut.

“Terima kasih atas khidmat JKR Cawangan Machang. Ini boleh mengelak daripada terjadi sesuatu yang tidak diinginkan memandangkan keadaan hujan lebat.

“Pengguna jalan raya yang melalui jalan ke Machang daripada arah Pulai Chondong melalui PPR sila berhati-hati,” katanya pada catatan di laman sosialnya.

Di Kuala Krai jalan yang menghubungkan Kampung Manek Urai dengan Kampung Sungai Garam terputus hubungan ekoran paras air di Sungai Mesek sehingga ke paras bumbung rumah penduduk.

Di Gua Musang keadaan terkini sehingga jam 10.25 pagi tadi banjir masih lagi melimpah di jalan Gua Musang ke Lojing berhampiran Pos Blau.

Menurut sumber JKR jalan tersebut masih ditutup kepada semua kenderaan.

Sementara itu anggota Exco kerajaan negeri Dato’ Dr Izani Husin berkata, kerja-kerja penurapan jalan di sepanjang jalan Gaal ke Pasir Puteh menggunakan bahan cold mix dilaksanakan bagi keselamatan pengguna jalan raya. – HARAKAHDAILY 25/12/2023

- Advertisement -