Tumbuk muka pengadil: Perlawanan SuperLig Turkiye ditunda

Presiden Kelab tertinggi Turkiye, MKE Ankaragucu, Faruk Koca, menyerang secara fizikal dengan menumbuk muka pengadil Halil Umut Meler (dua dari kiri) selepas pasukannya seri menentang Caykur Rizespor pada hari ini, 12 Dis 2023 di Ankara, Turkiye. (FOTO: Anadolu Agency)
- Advertisement -

ANKARA: Persekutuan Bola Sepak Turkiye (TFF) telah menggantung semua perlawanan liga sehingga diberitahu kelak berikutan serangan terhadap pengadil berlesen di bawah Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Presiden TFF, Mehmet Buyukeksi, selepas mesyuarat luar biasa lembaga eksekutifnya pada hari ini, Isnin (12 Dis) berkata, kelab bola sepak terbabit dan pengurusnya akan dihukum paling berat. 

- Advertisement -

“Setiap orang yang pernah menyasarkan pengadil bersubahat dalam jenayah keji ini,” katanya mengulas insiden Presiden kelab tertinggi Turkiye MKE Ankaragucu, Faruk Koca, yang telah menyerang secara fizikal pengadil, Halil Umut Meler selepas pasukannya seri menentang  ketika menentang Caykur Rizespor pada Isnin.

Susulan keputusan perlawanan itu, Koca dilihat dengan pantas memasuki padang dan terus menumbuk muka Meler, lapor Anadolu Agency.

Menteri Dalam Negeri Turkiye, Ali Yerlikaya berkata di platform X bahawa Koca ketika ini sedang menerima rawatan di hospital di bawah pengawasan polis selepas dia pengsan berikutan tindakan ganasnya  terhadap Meler di lokasi kejadian, sambil menambah bahawa ‘prosedur penahanan (Koca)  akan dijalankan selepas rawatan itu’.

Yerlikaya juga berkata, dua lagi individu yang menendang kepala Meler ketika  kejadian itu ditahan atas arahan Pejabat Ketua Pendakwa Raya Ankara Barat.

Faruk Koca (dua dari kanan) kini dirawat di hospital selepas menumbuk muka Halil Umut Meler. (FOTO: Sky Sports)

Sehubungan itu, Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan turut  mengutuk insiden itu, yang berlaku di ibu kota, Ankara.

“Sukan bermakna keamanan dan persaudaraan. Sukan tidak serasi dengan keganasan,” tulisnya  menerusi X.

“Kami tidak akan membenarkan keganasan berlaku dalam sukan Turkiye,” tambahnya.

Pengadil di bawah FIFA sejak 2017, Meler yang berusia 37 tahun mengendalikan perlawanan kumpulan Liga Juara-Juara Lazio dengan Celtic pada 28 Nov lalu.

Terdahulu, pengadil bola sepak  di Turkiye sering dikritik oleh pengurus dan presiden kelab kerana keputusan mereka tetapi jarang menjadi sasaran serangan ganas.

Ankaragucu ketika ini berada di tempat ke-11 dalam kedudukan dengan 18 mata, tiga anak tangga di bawah Rizespor dengan 22 mata selepas 15 perlawanan.

Pusingan seterusnya dan yang ke-16 daripada 38 pasukan teratas Turkiye dijadualkan berlangsung pada hujung minggu depan.  HARAKAHDAILY 12/12/2023

- Advertisement -