Mindset lapuk yang tersembul dari minda mereka

Ulamak VS Profesional?

- Advertisement -

SEORANG sahabat saya yang juga bekas ahli PAS barangkali sakit mata dengan kemenangan PAS di Kemaman dan menulis ‘Samsuri hanya bidak di papan catur PAS’. Saya hormat pandangan beliau, namun saya tergerak untuk memberikan sedikit respon. 

Hakikatnya begini, lawan PAS hari ini sebenarnya semakin tidak boleh duduk diam dengan kemenangan Dr Samsuri (Dr Sam) di Kemaman. Pada satu sisi mereka kata tiada apa yang luar biasa dengan kemenangan PAS di Kemaman. Tidak memberi kesan kepada Kerajaan Madani.

Pada satu sisi lain mereka nampaknya begitu terkesan dengan kempen Dr Sam sebagai disebut-sebut sebagai calon Perdana Menteri ke-11. Padahal tiada pun kenyataan rasmi dari PERIKATAN NASIONAL bahawa inilah calon Perdana Menteri sebagaimana era ‘strong, formidable dan convincing’ satu ketika dulu. Jikalah benar mereka yakin bahawa gabungan Kerajaan Madani yang ada pada hari ini adalah gabungan politik yang stabil dan kukuh, sepatutnya Dr Sam yang dianggap biasa ini tidak menggentarkan mereka. 

Menganggap Dr Sam hanya bidak yang akan menjadi korban dalam PAS juga hanya membuktikan mereka ‘insecure’ dengan hakikat sebenar bagaimana PAS meraikan ahli-ahlinya. Mereka adalah orang yang suka mengintai kebahagiaan orang lain kerana sakit dengan penderitaan di rumah sendiri.

Mereka benci melihat PAS membuktikan PAS semakin diterima pelbagai golongan. Mereka gagal membuktikan PAS tidak seperti yang mereka burukkan kepada rakyat. Sehingga PAS diimejkan ekstremis untuk menakutkan rakyat seperti mana musuh Islam yang mencetuskan Islamofobia.

Ketika PAS menjadi kerajaan, bukan hanya golongan ulamak yang dihantar oleh PAS untuk menjadi Menteri dan Timbalan Menteri. 4 orang Menteri Besar PAS hari ini, hanya seorang daripada golongan ulamak. Bahkan di peringkat tertinggi parti, daripada 3 orang Naib Presiden seorang daripadanya adalah golongan profesional iaitu Dr Sam sendiri. Barang diingat bahawa penulis yang menyatakan Dr Sam ini adalah sekadar bidak itu sendiripun dulunya merupakan tenaga profesional di dalam PAS!

Perlu difahami, jika seseorang memiliki kelayakan tinggi dalam ilmu agama mereka juga tergolong dalam golongan profesional dalam bidang agama Islam. ‘Mindset’ ini perlu ditanam agar tidak timbul isu ulamak dan profesional tidak boleh bergerak dengan fikrah Islam yang sama.

Golongan ulamak adalah profesional dalam bidang agama. Dalam PAS mereka menjadi obor akidah perjuangan yang menyuluh ahli jemaah agar tidak tergelincir daripada landasan perjuangan PAS yang sebenar. 

Golongan profesional tidak terkecuali dalam tanggungjawab memikul dan menjunjung dasar dan prinsip perjuangan PAS. Golongan profesional akan diletakkan di posisi sesuai dengan kelayakan mereka untuk memimpin parti kerana perjuangan Islam merangkumi seluruh aspek kehidupan termasuk dalam urusan pentadbiran dan bernegara.

Demikian juga aktivis yang mempunyai fikrah dan daya juang yang jelas, tentunya menjadi tungku ketiga bagi memastikan ‘beras’ perjuangan yang dimasak tidak mentah dan tidak pula hangit. Ia dihidangkan kepada ummah dengan cita rasa yang selari dengan panduan wahyu dari langit. 

Presiden PAS sendiri membuktikan kepimpinan ulamak tidak pernah meminggirkan tempat golongan profesional dalam PAS. 2 orang Setiausaha Politik Presiden yang terkini adalah golongan profesional. Wakil-wakil rakyat PAS juga sebahagian besarnya daripada golongan profesional dan teknokrat.

“Sampai masa nanti akan bertembung juga golongan profesional dan golongan agama dalam perebutan kuasa yang terus menerus berlaku dalam parti itu.” Itu adalah tulisan orang sakit yang sedang sengsara dalam perebutan kuasa politik tidak bermaruah seperti yang berlaku dalam Kerajaan Madani hari ini. 

Sahabat saya ini juga masih meletakkan signature bekas pemangku YDP PAS Kota Bharu. Menjadi satu kejanggalan sebenarnya apabila masih ramai sanggup bersandar atas satu ‘bekas’ dan ditambah  ‘pemangku’ lagi. Harapnya ia tidak digelarkan sebagai ‘gila talak’ seperti yang dilabelkan oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Saya ingin bertanya dengan ikhlas, kenapa malu untuk dicatat jawatan di dalam parti yang disertai sekarang? Adakah keterlibatan di dalam parti PKR khususnya di Kelantan benar-benar memuaskan hati dan mencapai cita-cita yang diidam-idamkan selepas keluar dari PAS? 

Akhir sekali, sebenarnya ahli PAS sudah cukup bangga menjadi bidak selama mana posisi itu mampu membantu PAS mencapai kemenangan. Barangkali yang terkeluar dari PAS selama ini ialah orang-orang yang berhasrat menjadi ‘King’ atau ‘Queen’ tetapi menghadapi ‘checkmate’ lebih awal kerana niat dan hasrat yang kurang jernih.

Salam hormat.

YB USTAZ AHMAD FADHLI SHAARI
Ketua Penerangan PAS
Ahli Parlimen Pasir Mas – HARAKAHDAILY 8/12/2023

- Advertisement -
- Advertisement -