KUALA LUMPUR: Pengasas Projek Kemanusiaan dan Kebudayaan Global Baitulmaqdis, Prof Dr Abdul Fattah El-Awaisi terus gigih menggiatkan usahanya membangkitkan kesedaran sejagat ke arah pembebasan dan kemerdekaan Palestin.
Terkini, beliau menyemarakkan kempen diusahakannya menerusi penganjuran ‘Pertemuan Baitulmaqdis’ terutama bersama para pelajar dan ilmuan khususnya dalam lawatan beliau di Konya, Turkiye pada kelmarin dan semalam.
Antara dikunjungi beliau adalah Sekolah Menengah Mustafa Buyuk Kaplan Al-Quran, Sekolah Menengah Seljuklu Mahmud Sami Ramadanoglu Imam dan Khatib Natolia, serta Sekolah Sains Sosial dan Alam.
Setiap pertemuan tersebut dihadiri oleh antara 200 hingga 400 peserta di mana beliau telah mensyarahkan sebab untuk umat Islam memberi perhatian kepada isu Baitulmaqdis dan Masjid al-Aqsa yang mulia.
Turut diadakan adalah pertemuan yang produktif dengan pasukan istimewa wanita Turkiye di Konya yang merupakan ‘Pasukan Analisis Baitulmaqdis’, selain diadakan wawancara langsung di saluran televisyen KON TV mengenai perkembangan di Gaza.
Pertemuan utama adalah ceramah di Pusat Penyelidikan dan Kebudayaan Peradaban Ma’rifah yang dihadiri oleh lebih daripada 300 individu dari seluruh negara Sultan Muhammad al-Fateh itu.
Prof Dr Abdul Fattah telah berbicara mengenai sebab-sebab berlakunya Taufan Al Aqsa pada 7 Oktober itu serta serangan dan pembakaran dan penghapusan umat di Gaza oleh tindakan penjajah Zionis-Israel.
Tegas beliau peranan umat Islam dalam menyokong Gaza kerana isu Baitulmaqdis dan Masjid Al-Aqsa bukanlah isu Palestin atau Arab, tetapi isu Islam yang berkaitan dengan kepercayaan setiap Muslim.
Beliau turut menyatakan keperluan untuk mendesak Kerajaan Turkiye dan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan supaya bergerak dari peringkat kenyataan kepada tindakan yang serius dan praktikal.
Profesor Hubungan Antarabangsa di beberapa universiti dunia itu menekankan tiga tuntutan mendesak kepada Kerajaan Turkiye supaya memutuskan hubungan diplomatik dengan entiti pengganas Zionis.
Juga membatalkan atau menggantung semua perjanjian yang ditandatangani antara Kerajaan Turkiye dan Kerajaan Zionis-Israel dan mengaktifkan perjanjian keselamatan antara Turkiye dan Palestin yang membenarkan penghantaran bantuan.
Beliau dalam pada itu juga terus menyuntik motivasi dan keyakinan umat ini kepada kejayaan Palestin untuk kembali membuka bumi anbiya’ tersebut sebagai kebangkitan kali kedua buat Islam.
“Sekiranya kita adalah generasi yang akan menyaksikan pembebasan Masjid Al-Aqsa yang diberkati tidak lama lagi, insya-Allah, ini generasi Islam yang sedang dihasilkan oleh Allah Ta’ala.
“Sama ada mereka yang akan selamat dari Holocaust atau pembunuhan beramai-ramai di Semenanjung Gaza, atau menjadi putera-puteri umat Islam di dunia Islam yang menyokong dan tidak mengecewakan keluarga kita di Gaza.
“Sesungguhnya generasi akan datang ini adalah generasi pengukir sejarah masa depan kita, generasi pemimpin masa depan. Ia adalah generasi Futuhat (pembuka) masa depan dan ‘Kebangkitan Islam Sedunia Kedua’.
“Serta Ustaziatu al-‘Alam (rujukan dunia) kali kedua yang akan bermula dari Tanah Suci (Baitul Maqdis) – ibu kota khilafah Islam masa depan – agar matahari Al-Islam dan Al-Rahmah li al-‘Alamun (rahmat untuk sekelian alam) akan menyinari semula alam ini.
“Ya, ini adalah pasti, dan sesungguhnya ia adalah ain al-yaqin (kepastian yang disaksikan). Hal ini kerana ia adalah janji Allah Ta’ala dan Rasul-Nya S.A.W,” ungkap Dr Abdul Fattah. – HARAKAHDAILY 8/12/2023
Palestin: Dr Fattah El-Awaisi semarakkan kempen di Turkiye
- Advertisement -