PRK Kemaman: Misi hantar Dr Sam ke Parlimen selesai! 

- Advertisement -

PEMUDA PAS mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada YAB Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (Dr Sam) atas kemenangan luar biasa dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman yang berlangsung semalam.

Kemenangan selesa dengan majoriti yang besar sebanyak 37,220 undi meninggalkan calon Barisan Nasional jauh ke belakang membuktikan bahawa momentum sokongan rakyat terhadap PAS atau PN terus kekal, malah bertambah apabila berlaku peningkatan sebanyak 10,041 undi berbanding PRU15 lalu.

Keputusan ini menjadi signal penolakan rakyat terhadap PH-BN biarpun telah setahun berkuasa di Pusat bawah kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Keadaan ini menunjukkan kejayaan demi kejayaan yang didakwa oleh pihak kerajaan hanyalah kegagalan yang bertimpa-timpa. Momokan dan sentimen memburukkan pembangkang melalui naratif dana peruntukan dan 3R tidak berjaya membekas di hati pengundi-pengundi. Sebaliknya menjadi ‘senjata makan tuan’ apabila kepercayaan rakyat terus bersama PAS atau PN.

Pemuda PAS mengucapkan tahniah dan jutaan terima kasih kepada jentera petugas dan penyokong parti, serta pengundi-pengundi yang terus teguh bersama PAS atau PN tanpa mengendahkan naratif jahat pihak lawan.

Misi kita menghantar Dr. Sam ke Parlimen telah selesai. Kini misi kita menghantar Dr. Sam menawan Malaysia pula. Terus teguh bersama PAS atau PN, kita bina Malaysia yang BEST.

YB USTAZ AFNAN HAMIMI DATO’ TAIB AZAMUDDEN 
Ketua
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 3/12/2023

- Advertisement -
- Advertisement -