PN terus pimpin arus politik nasional

Tan Sri Annuar Musa
- Advertisement -

KOTA BHARU: Dasar perjuangan Islam yang suci, falsafah politik murni di samping organisasi pilihan raya yang tersusun memberi hasil yang padu sehingga meraih kemenangan besar pada PRK Kemaman semalam.

- Advertisement -

Timbalan Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat Tan Sri Annuar Musa turut menyifatkan pertambahan majoriti 10,000 pada PRK tersebut hasil usaha petugas pelbagai peringkat yang istiqamah dan komited.

“Alhamdulillah walau peratusan keluar mengundi lebih rendah daripada apa yang disasarkan, ia tidak menghalang PAS mendapat majoriti jauh lebih besar iaitu 37,220 undi, lebih tinggi daripada PRU15,” ujarnya pada catatan Facebooknya hari ini.

Menurutnya, PAS bersama PERIKATAN NASIONAL (PN) terus memimpin arus politik nasional ke arah yang lebih baik, adil, prihatin dan berkebajikan.

Sehubungan itu katanya, PAS bersama PN serta semua parti politik sealiran akan terus memupuk muafakat nasional yang mampu melepaskan Malaysia daripada belenggu politik manipulasi, kleptokrasi, kakistokrasi demi membela rakyat dan negara.

“Terima kasih kepada semua saf pimpinan yang berkerja keras, parti parti gabungan, negarawan dan tokoh-tokoh yang turut membantu.

“Juga terima kasih kepada negeri dan DUN yang turut membantu, Jabatan Pilihan Raya PAS pusat, negeri, kawasan, DUN dan UDM serta penyokong setia PAS dan rakyat Kemaman.

“Tahniah Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di atas kemenangan tersebut ujarnya. – HARAKAHDAILY 3/12/2023

- Advertisement -