Belanjawan Perak 2024: Harap tidak stereotaip, retorik

- Advertisement -

ALHAMDULILLAH, semalam kami Ahli-ahli Dewan Negeri Perak Saf Pembangkang telah mengadakan mesyuarat prasidang Dewan Negeri Perak sebagai persiapan untuk membawa suara semak dan imbang melalui pelbagai isu setempat dan tadbir urus negeri ini serta rakyat keseluruhannya.

Saf Pembangkang sebulat suara bagi memastikan semua perbahasan khususnya bagi Rang Undang-undang Enakmen Perbekalan 2024 dan Usul Kumpulan Wang Pembangunan 2024 terarah kepada cadangan yang konstruktif serta isu yang dekat dengan hati rakyat untuk dijawab oleh pihak kerajaan dengan jawapan yang tuntas bukan retorik. 

Saf Pembangkang akan berperanan meneliti kepada segala insentif dan inisiatif yang akan diumumkan oleh YAB Menteri Besar Perak pada esok pagi, adakah belanjawan ini benar-benar akan memberikan manfaat secara menyeluruh atau hanya bersifat stereotaip? Agenda daripada rakyat kepada rakyat perlu diutamakan. 

Saf Pembangkang optimis bagi membantu membangun Negeri Perak tercinta ini agar sentiasa dalam landasan yang betul untuk menjadi sebuah wilayah yang berdaya maju dengan pembangunan yang mampan, berkat serta sejahtera merangkumi politik, ekonomi dan sosial. 

Saya dengan ini mengucapkan selamat bersidang buat semua Ahli Dewan Negeri Perak sama ada di Blok Kerajaan dan Pembangkang yang akan bermula hari ini 1 Disember 2023. 

“Responsif dan Konstruktif”

YB HAJI RAZMAN ZAKARIA
Ketua Pembangkang Dewan Negeri Perak – HARAKAHDAILY 1/12/2023

- Advertisement -
- Advertisement -