Terengganu anggar hasil 2024 sebanyak RM1.860 bilion

Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu menganggarkan sejumlah RM1.860 bilion hasil pada tahun 2024.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia melibatkan sebanyak RM80.06 juta daripada hasil cukai, RM169.01 juta daripada hasil bukan cukai dan RM1.610 bilion daripada terimaan bukan hasil termasuk Dana Khas Kerajaan Persekutuan iaitu bayaran hasil petroleum.

“Dalam mendepani pelbagai cabaran yang telah saya nyatakan, kerajaan negeri komited untuk memastikan kedudukan kewangan berada dalam keadaan stabil untuk menyokong keperluan semasa dan masa hadapan kita semua,” ujarnya ketika membentangkan Belanjawan 2024 negeri di Dewan Undangan Negri (DUN), hari ini.

Justeru, ujarnya belanjawan berimbang yang beliau bentangkan itu akan memperuntukkan sejumlah RM1.860 bilion untuk perbelanjaan mengurus termasuk RM500 juta caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan.

Katanya, di bawah perbelanjaan mengurus, sebanyak RM84.77 juta diperuntukkan bagi perbelanjaan tanggungan dan RM1.775 bilion bagi perbelanjaan bekalan iaitu sebanyak RM278.30 juta untuk emolumen, RM251.48 juta untuk perkhidmatan dan bekalan.

Tambahnya, RM23.86 juta pula untuk aset, RM1.220 bilion untuk pemberian dan kenaan bayaran tetap dan RM1 juta untuk perbelanjaan lain.

Jelasnya, di bawah perbelanjaan pembangunan pula, sebanyak RM425.19 juta (85.04 peratus) diperuntukkan untuk sektor sosial, RM44.10 juta (8.82 peratus) untuk sektor pentadbiran dan RM30.71 juta (6.14 peratus) untuk sektor ekonomi.

Katanya, belanjawan pada kali ini menunjang tiga fokus.

“Fokus pertama ialah memperkukuh keberkesanan kerajaan, fokus kedua pula ialah mempelbagaikan sumber kekayaan manakala fokus ketiga ialah menyejahterakan kehidupan rakyat,” ujarnya yang juga ADUN Ru Rendang.– HARAKAHDAILY 27/11/2023

- Advertisement -