PRK Kemaman: Mood yang positif, kata Dr Samsuri

Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar optimis terhadap respons penerimaan rakyat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman.

- Advertisement -

“Mood yang positif,” katanya ketika ditemui selepas pembentangan Belanjawan Terengganu 2024, di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Mengulas berhubung serangan parti lawan terhadap isu peribadi dan dalam ceramah, beliau berkata parti politik negara perlu sentiasa memperbaharui perkembangan semasa untuk keluar daripada politik cara lama.

“Ini masalahnya, kita parti politik ia sama macam apps (aplikasi), kita punya sistem dalam telefon kena update.

“Kalau parti politik yang tidak update dengan perkembangan semasa untuk keluar daripada politik cara lama, politik permusuhan, kata mengata, fitnah dan sebagainya saya rasa kita terperangkap dengan zaman itu.

“Negeri dan negara kita tidak boleh bergerak ke hadapan kalau kita masih lagi terperangkap dengan keadaan itu,” katanya yang ditampilkan PAS sebagai calon pada PRK Parlimen Kemaman.

Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, PAS mencuba sebaik mungkin membawa budaya politik baharu ini.

“Soal lawan kita yang masih nak peteh kaki kita lagi tu, kita cuba hadapilah macam mana,” katanya yang juga Naib Presiden PAS.

Pada PRK Kemaman, beliau yang berdepan dengan calon BN, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

PRK Kemaman diadakan susulan Mahkamah Pilihan Raya di Kuala Terengganu telah membenarkan Petisyen Pilihan Raya P.040 Kemaman dengan kos sebanyak RM30,000 pada 26 September lalu.

Hakim Pilihan Raya Datuk Anselm Charles Fernandis memutuskan sedemikian dan selanjutnya mengisytiharkan bahawa calon PAS yang mewakili PERIKATAN NASIONAL, Che Alias Hamid telah dilapor pilih secara tidak sah sebagai Ahli Parlimen bagi Bahagian Pilihan Raya P.040 Kemaman pada 19 November 2022 lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu, Che Alias memenangi kerusi Parlimen Kemaman dengan majoriti 27,179 undi apabila memperolehi 65,714 undi, menewaskan Dato’ Seri Ahmad Said (BN-Umno) yang mendapat 38,535 undi, Hasuni Sudin (PH-PKR – 8,340) dan Rosli Ab Ghani (Pejuang – 506).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Parlimen Kemaman diadakan pada 2 Disember dan pengundian awal 28 November.

Daftar pemilih yang digunakan pada PRK itu ialah yang dikemaskini sehingga 3 Oktober lalu dengan jumlah 141,790 pemilih. – HARAKAHDAILY 27/11/2023

- Advertisement -