Kelantan akan keluar beras jenama Agro Darul Naim

Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan akan mengeluarkan beras tempatan dengan menggunakan nama Agro Darul Naim sebagai langkah menghadapi cabaran dalam isu keterjaminan makanan rakyat di negeri ini.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Negeri Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, kerajaan negeri menyediakan peruntukan khas untuk membangunkan kilang padi dan beras tahun hadapan.

“Untuk tahun 2024 kerajaan negeri menyediakan peruntukan khas untuk membangunkan kilang padi dan beras yang akan dibina di Meranti, Pasir Mas.

“Insya-Allah, kita akan mengeluarkan beras tempatan sendiri yang akan menggunakan nama Beras Agro Darul Naim,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Azhar Salleh (PAS-Pulai Chondong) pada sidang Dun hari ini.

Tuan Saripudin juga berkata, antara langkah diambil kerajaan negeri menubuh Jawatankuasa Induk Sekuriti Makanan Negeri Kelantan dipengerusikan Menteri Besar dan Jawatankuasa Kerja Sekuriti Makanan Negeri dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri yang ditubuh pada 11 Mei 2022.

Selain itu katanya, tahun ini kerajaan negeri memberi insentif secara bersasar dan selektif kepada golongan sasar dengan memperuntukan sebanyak RM3.66 juta melibatkan 357 projek pertanian.

“Jabatan Pertanian melaksanakan aplikasi teknologi di lapangan melalui kaedah ‘participatory observation’ di mana teknologi baru dari syarikat pengeluar diaplikasi terus ke ladang bagi tujuan peningkatan hasil, kawalan musuh tanaman dan keselamatan makanan,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/11/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!